
Oleh Noor Suzilwati Jamaludin
KUALA LUMPUR, 7 Sept (Malaysiaaktif) — Menafikan dakwaan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) bersikap angkuh, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan hakikat sebaliknya.
Beliau berkata kerajaan BN sentiasa bersedia memperbaiki sebarang kelemahan dan menerima teguran daripada rakyat, tetapi memerlukan tempoh masa tertentu untuk menyelesaikan sesuatu perkara yang dibangkitkan.
“Kita tahu apa kelemahan kita. Kita sanggup membetulkan kelemahan kita. Kita bukanlah kerajaan yang angkuh. Kita bukanlah kerajaan yang sombong dan bukanlah kerajaan yang kata kita ini segala-galanya baik, tetapi kita sanggup membetulkan apa yang masih lagi perlu diperbetulkan,” katanya.
Najib juga menyentuh mengenai isu kejatuhan nilai mata wang yang disifatkannya sebagai isu global yang turut dirasakan oleh negara-negara lain, termasuk negara besar, seperti China.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bangunan Yayasan Pewaris Batu di sini, semalam.
Najib menyuarakan rasa bangga beliau di atas kejayaan menzahirkan bangunan tersebut yang turut menempatkan pejabat UMNO Bahagian Batu.