Skip to main content
HomeViral

Mesyuarat Dokumen Pengenalan Penduduk Sarawak

By 15 September 2015Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Kenyataan Media 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, merangkap Menteri Dalam Negeri telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa mengenai Dokumen Pengenalan Diri Penduduk di Negeri Sarawak di pejabatnya di Putrajaya.

Mesyuarat Jawatankuasa Berhubung Dokumen Pengenalan Diri Penduduk di Sarawak yang diadakan buat julung kali ini satu lagi usaha Kerajaan dalam menyediakan wahana kepada rakyat di negeri Sarawak untuk mengangkat isu-isu berkaitan dokumen pengenalan diri yang dihadapi di negeri berkenaan.

Ini berikutan rungutan bahawa masih ada penduduk peribumi Sarawak yang lahir dan menetap di negeri Sarawak, khususnya di kawasan-kawasan pedalaman, tetapi masih belum memiliki dokumen pengenalan diri.

Oleh itu, Jawatankuasa ini akan memantau dan meneliti isu ini dan akan melihat sejauh mana keseriusan perkara ini di lapangan dan seterusnya akan mengambil tindakan-tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang semasa.

Satu pasukan petugas khas juga diwujudkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Sarawak dengan kerjasama beberapa agensi lain di bawah pemantauan Datuk Joseph Entulu bagi menangani masalah dibangkitkan di Sarawak. Pasukan petugas khas itu ditubuhkan untuk turun padang ke kawasan pedalaman dan rumah panjang untuk membantu proses permohonan dokumen pengenalan diri bagi individu yang dikenal pasti sebagai peribumi yang telah lahir dan menetap di Sarawak.

Mesyuarat tersebut telah membincangkan mengenai dokumen pengenalan diri, seperti Mykad, sijil perkahwinan dan sijil kelahiran yang merupakan dokumen mandatori bagi setiap  warganegara Malaysia.

Isu ketiadaan dokumen pengenalan diri dalam kalangan rakyat Malaysia menjadi antara fokus utama Kerajaan. Ini kerana ia bukan sahaja berperanan sebagai dokumen keselamatan yang digunakan untuk mengenali identiti diri seseorang, tetapi juga sebagai rujukan asas untuk mendapatkan akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan, kebajikan, perbankan dan lain-lain urusan.

Oleh itu, Kerajaan ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar sentiasa mengambil berat akan kepentingan dokumen pengenalan diri dan memastikan setiap perkahwinan didaftarkan dengan pihak berkuasa yang diperuntukan di bawah undang-undang Malaysia dan juga memastikan setiap kelahiran kanak-kanak didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara.

Ini adalah kerana kegagalan untuk berbuat demikian akan menjejaskan proses identifikasi dan penentuan kewarganegaraan seseorang.

Dalam hal ini, Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk mengakses perkhidmatan permohonan dokumen pengenalan diri di negeri Sarawak melalui 53 Pejabat/Cawangan JPN  serta melalui Pejabat JPN di UTC Kuching dan RTC Sibuti.

Usaha untuk mendekati penduduk-penduduk di pedalaman pula diperhebatkan lagi melalui Pasukan Unit Khas Bergerak (UKB) yang telah menjalankan sebanyak  896 operasi  di seluruh Sarawak dari  2004 hingga 31 Ogos 2015 dengan penyertaan 55,207 orang awam yang bukan sahaja mengemukakan permohonan, tetapi hadir untuk mendapatkan khidmat nasihat. JPN juga akan menggandakan usaha bagi mendekati penduduk-penduduk di pedalaman sebagai inisiatif untuk mengatasi masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri di kalangan penduduk Negeri Sarawak.

 

PUTRAJAYA
15 SEPTEMBER 2015

Tinggalkan komen anda