Skip to main content
HomeViral

Mustapa Saran BN Ubah Strategi, Menang Hati Rakyat

By 26 September 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Faris Fuad

JELI, 26 Sept (Malaysiaaktif) – Pengerusi Barisan Nasional Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyarankan BN mengubah strategi bagi memenangi hati rakyat pada pilihan raya akan datang.

Beliau menggesa BN mengambil peluang dengan membaiki kekurangan pentadbirannya ekoran kemelut yang melanda parti pembangkang.

“Kita bukan bergantung kepada mereka (pakatan pembangkang) kita bergantung kepada kekuatan dalaman kita, tetapi ini masanya kita mengubah strategi kita untuk memperkukuhkan kedudukan BN peringkat negeri dan nasional,” katanya ketika ditemui media dalam majlis rumah terbuka beliau bersempena Hari Raya Haji semalam di Jeli, Kelantan.

Beliau berpendapat situasi politik negara telah berubah berikutan keengganan PAS menyertai Pakatan baru yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara.

Mustapa turut menggesa supaya semua pihak, termasuk komponen BN dan UMNO agar sentiasa fokus kepada agenda dan perjuangan hati rakyat walaupun terdapat masalah dalaman melibatkan pakatan pembangkang.

“Walaupun pakatan pembangkang dilihat lemah kesan daripada keputusan PAS tidak menyertai Pakatan Harapan itu, UMNO dan BN tidak boleh leka daripada terus membina kekuatan membela nasib rakyat.

“Pakatan pembangkang sudah lama dijangka berikutan berlaku perbezaan pendapat yang besar antara PAS dan DAP sehingga PAS banyak bertolak ansur.”

Sebelum ini, pakatan pembangkang baharu yang dinamakan Pakatan Harapan ditubuhkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang telah berkubur apabila PAS memutuskan semua hubungan dengan DAP pada Jun lalu.

Walaupun beberapa pemimpin pakatan baru itu telah menjemput PAS untuk menyertai mesyuarat itu, ia telah ditolak oleh pucuk pimpinan parti Melayu Islam tersebut.

 

Tinggalkan komen anda