Skip to main content
HomeViral

Nasrudin : Hadi Tolak Jemputan Sertai PR 2.0 Tindakan Wajar

By 22 September 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh: Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Malaysiaaktif) – Tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak jemputan menyertai Pakatan Rakyat 2.0 adalah satu keputusan yang wajar.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan menyokong penuh pendirian Abdul Hadi susulan kenyataanya yang menegaskan tiada tahalul siyasi bersama pengkhianat.

“Pas tidak berminat mewujudkan versi 2.0 itu kerana Pakatan Rakyat versi asal masih utuh dan apa yang perlu ialah mengukuhkan versi asal dengan komitmen yang sudah jelas sebelum ini dan membuat penerokaan baru yang efektif kepada Pakatan Rakyat.,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

“Pakatan Rakyat 2.0 turut melibatkan DAP sedangkan Pas baru sahaja dikhianati oleh DAP yang menyerang Pas dari segenap sudut termasuk mensasarkan peribadi Presiden PAS.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh menegaskan bahawa PAS mempunyai matlamat sendiri dalam menjamin masa depan parti itu.

“Pas tidak perlu mengikut lagak orang lain untuk berjaya dan menang.

“Pas mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu bersahabat dan mendukung cita-cita perjuangan parti ini untuk sama-sama menuju kejayaan dan kemenangan di dunia dan akhirat.”

Pakatan Rakyat 2.0 atau kini dikenali sebagai Pakatan Harapan ditubuhkan secara rasmi hari ini melibatkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara.

Pakatan tersebut dirasmikan setelah selesai Perbincangan Meja Bulat dan diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Empire Hotel, Subang Jaya.

Walaupun begitu, Presiden PKR memaklumkan pintu masih terbuka untuk PAS menyertai gabungan parti baru itu.

 

Tinggalkan komen anda