Skip to main content
EkonomiHomeViral

Salleh Persoal Tindakan Mahathir Sewaktu Dituduh

By 22 September 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh: Faris Fuad

 KUALA LUMPUR, 22 Sept (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mempersoalkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tidak menyaman Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa beliau menyalahgunakan wang semasa zaman pentadbirannya.

Beliau membangkitkan isu ini ekoran kritikan tanpa henti terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan artikel yang dikeluarkan oleh pihak yang sama mengenai isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Menurut bekas editor WSJ Barry Wain, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membazirkan kira-kira RM100 bilion sepanjang 22 tahun pemerintahannya,” kata Salleh menerusi blognya, sskeruak.blogspot.com

“RM100 bilion dalam 1990 mungkin bernilai RM225 bilion hari ini.”

Dalam pada itu, beliau berkata menerusi buku yang ditulis oleh Wain bertajuk “Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times” juga telah mendakwa Mantan Perdana Menteri itu terlibat dengan skandal kewangan pada 1981.

“Dr Mahathir tidak pernah menyaman Wain maka dakwaan itu kekal dan kerana Dr Mahathir tidak menyaman Wain adakah ini bermakna tuduhan itu benar?” tanya Salleh lagi.

Sehubungan itu, beliau berpendapat Najib perlu menyaman WSJ jika mendapati mereka bersalah bagi menegakkan kebenaran.

“Bagaimanapun, jika Najib enggan menyaman WSJ, Dr Mahathir berkata itu bermakna dakwaan itu adalah benar,” katanya.

Sebelum ini, Mantan Perdana Menteri itu pernah mengakui beliau akan terus mendesak dan menekan Najib selagi pemimpin itu memegang tampuk pemerintahan.

 

Tinggalkan komen anda