Skip to main content
GlobalHomeViral

Tiada Jemaah Haji Malaysia Terlibat Setakat ini -Asyraf Wajdi

By 24 September 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Faris Fuad

MAKKAH, 24 Sept (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan setakat ini tiada lagi laporan membabitkan jemaah haji Malaysia dalam tragedi rempuhan di Mina.

Beliau berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari (waktu tempatan) manakala aktiviti lontar jamrah untuk jemaah Malaysia dijadualkan pada pukul 5 petang dan 8 malam.

“Kejadian rempuhan itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi yang merupakan waktu puncak untuk jemaah melakukan ibadah melontar, iaitu pada waktu afdal, sekitar jam 8 pagi hingga Zohor,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung dari Tanah Suci menerusi saluran televisyen RTM 1 hari ini.

“Bagaimanapun, sehingga kini, tiada jemaah kita yang terlibat, sebab waktu yang ditetapkan untuk mereka melakukan ibadah melontar adalah pada jam 5 petang dan 8 malam.”

Dalam pada itu, beliau menasihati jemaah Malaysia agar mengikuti jadual yang diberikan bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.

“Sebab itu, kita berharap agar jemaah kita tidak melontar di luar waktu yang ditetapkan. Selain itu, kita juga ada buka lapan pos untuk memastikan tidak ada jemaah kita yang melontar di luar kawasan.

“Kalau mereka terus ikut laluan yang telah ditetapkan, mereka akan terus naik ke tingkat tiga dan secara teori, mereka tidak akan terlibat dengan jemaah dari negara arab yang menggunakan Jalan 202 dan 204, kerana ia terus menuju ke aras bawah,” katanya.

Asyraf Wajdi turut menyeru ahli keluarga jemaah Malaysia supaya terus berdoa dan tidak mempercayai khabar angin sebaliknya mengesahkan kesahihan maklumat itu.

“Mungkin ramai yang risau dengan keluarga mereka. Terus doakan jemaah haji Malaysia sentiasa dipelihara oleh Allah S.W.T.

“Kami berharap agar mereka terus berdisiplin mengikut peraturan dan arahan yang telah ditetapkan. Sebarang maklumat boleh berhubung dengan petugas Tabung Haji dan jangan percaya kepada maklumat yang tidak disahkan,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi mengesahkan insiden tersebut menyebabkan kematian seramai 310 jemaah haji manakala 450 pula cedera.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Jalan 223 dan 204 iaitu lokasi penempatan dan perkhemahan Jemaah Haji negara arab.

Tinggalkan komen anda