Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeTerengganuViral

Lagi Kemalangan Di LPT2, Enam Sekeluarga Maut

By 14 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Aneta Ahmad (Kemaman)

KEMAMAN, 14 Okt (Malaysiaaktif) — Enam sekeluarga maut dalam satu kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) tengah hari tadi.

Kejadian pada kira-kira pukul 12.30 itu dikatakan berlaku semasa hujan lebat, apabila kereta yang dinaiki terbabas sebelum terperosok ke bawah sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan Kilometer 258.8 lebuhraya berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R & R) Perasing.

 

20151014015154 (2)

 

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim, kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan selepas tersepit di dalam kenderaan itu.

Dua jentera bersama seramai 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh dan Gambang dihantar ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan pada pukul 12.36 tengah hari.

 

20151014015154 (3)

 

Ketua Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Penguasa Kanan II Azmi Abdul Rahim Ibrahim, berkata anggota bomba mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.

Mereka yang maut, pemandu kereta jenis Toyota Camry, Azaman Ramli, 49, isterinya Noor Akmal Mohd Zain, 48, Noor Amira Syahirah Alias, 22, Aliff Hateem Azaman, 16, Aliff Hakim Azaman, 12 dan Aqeel Muslim Abdullah, 3 tahun.

Kesemua mangsa sedang menuju ke arah Kuantan dari Kuala Terengganu apabila kereta yang dipandu oleh Azaman hilang kawalan.

Pemandu lori treler yang berusia 35 tahun dan berasal dari Kelantan dipercayai sedang tidur di dalam kenderaan dan tidak menyedari apa yang berlaku ketika kejadian.

Semua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Polis meminta orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat berhubung nahas menghubungi balai polis Kemaman bagi membantu siasatan.

 

Tinggalkan komen anda