Skip to main content
Home

Malaysia Bimbang Keganasan Israel Merebak Di Palestin

By 19 Oktober 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Kenyataan Media Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman

 

Malaysia melahirkan rasa kebimbangan terhadap keganasan yang merebak di seluruh seluruh Tebing Barat kerana pertempuran berterusan antara rakyat Palestin dan pasukan keselamatan Israel.

Sepanjang minggu lalu, pertempuran antara rakyat Palestin dan pasukan keselamatan Israel telah dilaporkan di lebih daripada 50 lokasi yang berbeza, termasuk di Timur Jerusalem, Ramallah, Hebron, Bethlehem, Jenin, Tulkarm dan Nablus.

Malaysia mengutuk penggunaan kekerasan yang berlebihan oleh pasukan keselamatan Israel yang telah mengakibatkan jumlah kematian yang tinggi di kalangan rakyat Palestin, khususnya disebabkan oleh penggunaan peluru hidup.

Malaysia juga sangat bimbang dengan peningkatan laporan keganasan penduduk Palestin dan Israel yang saling berbalas serangan

Pada masa yang sama, serangan kejam tentera Israel ke atas orang awam yang tidak berdosa adalah tidak wajar dan merupakan jenayah terhadap kemanusiaan. Oleh itu, Malaysia menekankan adalah penting untuk memastikan bahawa pasukan keselamatan Israel mematuhi piawaian antarabangsa mengenai penggunaan tindakan kekerasan.

Malaysia menyambut baik perarakan solidariti oleh penduduk Palestin dan Israel pada 18 Oktober 2015 yang menyeru agar keganasaan di Tebing Barat dihentikan. Dalam hal ini, Malaysia menggesa kedua-dua pihak untuk tidak terus menggunakan keganasan dan mengambil tindakan segera untuk mengelakkan ketegangan yang berterusan.

Malaysia juga percaya proses pendamaian dan toleransi adalah perkara yang menyumbang ke arah rundingan aman yang seterusnya menjadi jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

 

Tinggalkan komen anda