Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurEkonomiHomePahangViral

Rumah PR1MA Pahang Sekarang Berharga RM80,000 Seunit

By 14 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Basharudin Md Yasin (Bera)

BERA, 13 Okt (Malaysiaaktif) — Kerajaan Negeri Pahang berjaya membina hampir 30,000 unit rumah walaupun pada pilihan raya umum lepas menjanjikan hanya 15,000 unit rumah dalam masa lima tahun menerusi inisiatif Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang.

Ini dinyatakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob selepas majlis penyerahan kunci PR1MA Pahang di perumahan Makmur Sentral Jaya Triang di sini semalam.

 

20151013021928

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di majlis penyerahan kunci PR1MA Pahang di perumahan Makmur Sentral Jaya Triang

 

Sehubungan itu, dalam anjakan proaktif terbaharu beliau mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan melaksanakan projek PR1MA Pahang degan menawarkan rumah berharga RM80,000 bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

Menurut beliau inisiatif baharu ini merupakan penambahbaikan terhadap projek berkenaan yang dahulunya dijual pada harga RM150,000 seunit. Ini bermakna harga baharu yang ditawarkan kerajaan negeri hampir 50 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Adnan berkata mesyuarat Exco negeri dua bulan lepas memutuskan untuk membina rumah berharga RM80,000 dan sekali gus menghentikan projek perumahan PR1MA berharga RM150,000 seunit.

Beliau berkata projek tersebut fokus kepada golongan yang berpendapatan isi rumah RM5,000 sebulan.

Rumah baharu yang ditawarkan ialah jenis rumah teres setingkat, tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keluasan 750 kaki persegi sehingga 800 kaki persegi.

Dalam pada itu, Adnan turut menyeru insitusi kewangan supaya melonggarkan syarat pinjaman bagi membolehkan lebih ramai golongan berpendapatan rendah memiliki rumah.

Ini termasuk pengecualian daripada mengemukakan penyata kewangan kerana kebanyakan mereka bekerja sendiri sebagai petani, atau peniaga kecil dan tidak mampu memenuhi syarat itu.

Menjelaskan impak kepada pemaju, Adnan berkata kerajaan negeri menyedari projek itu tidak memberi keuntungan tinggi kepada mereka yang terlibat, dan sebaliknya akan dilaksanakan mengikut skim subsidi silang di mana pemaju  diberikan sebidang tanah untuk membangunkan projek perumahan lain atau bangunan komersial sebagai timbal balas.

 

Tinggalkan komen anda