
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa
PUTRAJAYA, 15 Okt (Malaysiaaktif) — Jabatan Pengairan dan Saliran menganggarkan sebanyak 2,248.6 tan sampah dikeluarkan setiap bulan melalui proses menyelenggara sungai di seluruh negara.
Sehubungan ini, sebanyak RM80.95 juta diperlukan bagi menyelenggara sampah di dalam sungai.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan negeri perlu bekerjasama dengan pihak swasta dalam memajukan tebing sungai dan sekitar koridor sungai, sekali gus membantu membanteras tapak pembuangan sisa pepejal haram.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) ke-10 yang berlangsung di Perdana Putra petang tadi.
MSAN turut menyentuh aspek penyelarasan tadbir urus ke arah meningkatkan kecekapan, keberkesanan pengurusan dan pembangunan sumber air negara.