Skip to main content
EkonomiHomeViral

Kewujudan Ekonomi Digital Banyak Bantu Rakyat – Najib

By 15 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Faris Fuad

PUTRAJAYA, 15 Okt (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat kewujudan ekonomi digital telah banyak memberi manfaat kepada negara, terutama  rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pelbagai usaha telah dibuat kerajaan melalui kaedah digital, termasuk eRezeki yang memberi peluang kepada mereka untuk bekerja secara dalam talian.

“Selain pencapaian dalam ekonomi modal, manfaat inisiatif ekonomi digital negara telah mula sampai kepada rakyat dan organisasi,” katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia ke-27 di Putrajaya hari ini.

“Seorang lelaki bekerja sendiri di Kuala Lumpur, Yazid Mohd Zaiki, yang dalam tempoh dua bulan memperoleh hampir RM2,000 dengan melakukan tugas digital mudah manakala setiausaha eksekutif dari Sawarak, Bong NN, meraih lebih RM600 dengan menjalankan tugas-tugas berkaitan foto.”

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan mengutamakan peluang teknologi yang ada seperti ‘Big Data Analytics’ (BDA) dan ‘Internet of Things’ (IoT).

“Bagi Malaysia membina ekonomi digital yang cergas, adalah penting untuk mempunyai ekosistem membolehkan yang kukuh, terdiri daripada bakat teknologi maklumat dan komunikasi bertaraf dunia bagi memenuhi permintaan teknologi yang semakin meningkat dan infrastruktur digital bagi penyambungan yang lancar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memuji MSC Malaysia yang  telah memainkan peranannya  dalam menyumbangkan lebih RM295 bilion untuk memantapkan lagi ekonomi Malaysia, RM283 bilion nilai pelaburan dan lebih 147,000 peluang pekerjaan.

Najib turut menekankan MSC Malaysia merupakan hasil usaha ICT Negara untuk menarik lebih banyak syarikat-syarikat antarabangsa untuk sentiasa memperkasakan industri ICT Malaysia.

“MSC Malaysia juga terus menarik pelaburan dari syarikat-syarikat bertaraf dunia dan canggih dalam pelbagai industri.

“Hari ini, peluang-peluang baru kerap diperoleh daripada inovasi dan penggunaan teknologi digital.

“Sesungguhnya, dunia digital terus meresapi setiap aspek kehidupan kita di pelbagai peringkat usia, yang membawa kepada persekitaran yang baru kesalinghubungan,” katanya lagi.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Yasmin Mahmood.

 

 

Tinggalkan komen anda