Skip to main content
HomeViral

Semua Ubat Ikut Tender KKM Perlu Tidak Ada Alkohol

By 16 Oktober 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 16 Okt — Semua ubat yang dikeluarkan mengikut tender Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memenuhi syarat tidak mengandungi alkohol, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata berdasarkan syarat itu produk sirap paracetamol 120 miligram/5 mililiter yang disahkan mengandungi alkohol, telah ditarik balik daripada pasaran, walaupun produk itu selamat digunakan.

“KKM cuma beli ubat yang tidak ada alkohol. Apabila kandungan pada label sisip kotak tidak tertulis peratusan isi kandungan alkohol, maka kita telah arahkan tarik balik tetapi ubat itu masih selamat untuk digunakan,” katanya mengulas tindakan kementerian menarik balik ubat demam berkenaan daripada pasaran semalam kerana tidak mematuhi syarat pelabelan.

Dr Hilmi berkata demikian ketika berucap merasmikan Wisma Yayasan Kesihatan Mental (MHF) sempena hari Kesihatan Mental Sedunia di sini, Khamis.

Dr Hilmi berkata KKM sentiasa menjalankan pemeriksaan dan mengambil sampel ubat di pasaran dan jika ia didapati tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, produk berkenaan akan ditarik balik atau dirampas.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa melihat kandungan ubat pada bungkusan kotak sebelum membelinya.

 

Tinggalkan komen anda