
Oleh Wan Muhamad Zikri Wan Kamis
KANGAR, 11 Okt. (Malaysiaaktif) — Sukan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Ini dibuktikan melalui penganjuran acara boling di mana kira-kira 100 peserta berbilang kaum menyertainya sempena Program Semarak Komuniti 1Malaysia Peringkat Parlimen Padang Besar 2015 hari ini.
Program tahunan ini melibatkan sebanyak 13 buah Komuniti 1Malaysia di Parlimen Padang Besar.
Acara boling merupakan acara yang pertama, manakala program kemuncak dan majlis perasmian akan diadakan pada 14 Oktober ini sempena Tahun Baru Hijrah di Sekolah Kebangsaan Padang Melangit, Santan.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Permuafakatan Komuniti 1Malaysia Negeri Perlis, Datuk Nordin Hj. Abdullah yang turut bermain mewakili Komuniti 1Malaysia Beseri.
Sementara itu, pameran dan jualan produk Komuniti 1Malaysia dan pelbagai acara sukan rakyat akan dipertandingkan pada 14 Oktober nanti.
Penyampaian hadiah semua acara akan disempurnakan pada hari perasmian oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Sabry Ahmad.