
Oleh Iswandi Kassim (Sri Aman)
BELADIN, 2 Nov (KEMASKINI/Malaysiaaktif) — Keterujaan seorang guru menjala berakhir dengan satu tragedi apabila beliau dihanyutkan dan lemas di Sungai Bulin berhampiran Kampung Beladin sekitar pukul 2.00 petang semalam.
Menurut saksi, mangsa yang dikenali sebagai Abg Suhaili atau popular dengan gelaran ‘Cikgu Kawan’ telah turun menjala bersama seorang lagi rakannnya.
Ketika kejadian, mangsa cuba untuk menyeberangi sungai yang berarus deras akibat hujan malam sebelumnya.
Rakannya cuba melarang si mangsa daripada menyeberangi sungai, tetapi tidak diendahkan.
Sejurus kemudian, ketika menghampiri pertengahan sungai, mangsa tenggelam dan rakannya sempat melihatnya terkapai-kapai meminta tolong dan akhirnya hilang dihanyutkan air deras.
Rakannya tidak berupaya melakukan apa-apa dan bergegas memaklumkan perkara itu kepada orang kampung.
Sehingga pukul 3.00 petang ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih diteruskan dgengan bantuan lima anggota anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, lima anggota JPAM, seramai 10 orang anggota Rela dan beberapa orang penduduk kampung.
Mangsa mempunyai empat orang anak, seorang daripadanya sudah berumah tangaa, sementara yang lain masih bersekolah. Hari ini, isteri mangsa antara yang terus berada di lokasi menantikan sebarang kemungkinan.