Skip to main content
EkonomiHomeViral

Pengerusi PAC: Tiada Masalah Jika Pua Ingin Debat Arul 

By 2 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC),  Datuk Hasan Arifin menekankan tiada halangan daripada pihaknya sekiranya Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua ingin berdebat dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berhubung isu pelaburan syarikat itu.

“Arul Kanda telah bersetuju untuk terima cabaran tanpa syarat,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

“Jadi atas isu ni, terpulang kepada Pua untuk ambil keputusan sama ada untuk berdebat atau tidak,” katanya.

Sebelum ini, Pua dan Arul Kanda masing-masing bersetuju untuk berdebat mengenai isu syarikat pelaburan negara 1MDB tanpa sebarang syarat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak memaklumkan pihak juga bersedia untuk menawarkan penyiaran perbahasan secara langsung di RTM.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan anggotanya tidak perlu bertindak angkat sumpah simpan rahsia berikutan ahli-ahli PAC tersebut telah mengangkat sumpah simpan rahsia di Dewan Rakyat.

“Perkara pertama saya tekankan, ahli-ahli PAC tidak perlu angkat sumpah.

“Sebagai Ahli Parlimen, mereka telahpun angkat sumpah dan PAC sebahagian daripada jawatankuasa di bawah Parlimen,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama PAC di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau memaklumkan Jabatan Audit Negara telah menggunakan mesyuarat tersebut sebagai platform untuk memberi ceramah mengenai tugas dan pelaksanaan sebagai ahli PAC kepada anggota-anggota baru.

“Kita dengar taklimat isu-isu tertunggak, mendengar laporan interim 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Jabatan Audit Negara.

“Mereka berjanji akan menyiapkan laporan akhir menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan semua anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengangkat sumpah simpan rahsia bagi memastikan kerahsiaan maklumat jawatankuasa itu sentiasa terpelihara.

Beliau memaklumkan agenda itu telah dibangkitkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana kerajaan berpendapat amalan angkat sumpah simpan rahsia itu sebagai langkah wajar.

 

Tinggalkan komen anda