Skip to main content
Berita TempatanHomeMelaka

Ke Arah Kesedaran Terhadap Jenayah Ke Atas Wanita

By 12 November 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka & Rosidah Saarani (Melaka)

MELAKA, 12 Nov (Malaysiaaktif) — Jabatan Pembangunan Wanita Melaka (JPW) mengambil pendekatan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang isu keganasan terhadap wanita dengan menganjurkan Seminar Wanita Anti Jenayah (WAJA) 2015  di Auditorium Seri Negeri pagi tadi.

Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Roslan Ibrahim berkata program ini dirangka khas oleh JPW untuk menyebarkan maklumat kepada masyarakat tentang saluran aduan dan bantuan kepada mangsa keganasan, seperti rogol, cabul kehormatan, keganasan rumah tangga, pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, penipuan jenayah siber, gangguan seksual dan keldai dadah.

20151111221613 (1)

“Adalah amat penting pengetahuan, khususnya bagi golongan wanita tentang isu-isu dadah, pemerdagangan manusia, gangguan seksual dan jenayah dapat dipertingkatkan agar tidak menjadi mangsa,” ujar beliau.

Beliau berkata program seperti ini bukan hanya menyasarkan kaum wanita, tetapi  juga  terbuka kepada golongan lelaki. Justeru, beliau menyeru mereka, termasuk ibu bapa dan pelajar sekolah agar dapat mewar-warkan perkara ini dan bersama-sama membantu  menangani isu berkenaan.

Roslan juga meminta supaya orang ramai membuat aduan kepada agensi yang bertanggungjawab, seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dalam pada itu, beliau berharap kakitangan kerajaan turut memainkan peranan sebagai agen penyampai maklumat “Whistle Blower” sekiranya mengetahui berlaku kes seumpamanya.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS) diantara agensi melengkapkan pelaksanaan Program Transformasi Nasional demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Menurut statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM), jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan pada 2014 adalah sebanyak 4,807 kes berbanding 3,053 kes, iaitu peningkatan sebanyak 36 peratus, sementara jumlah purata kes rogol yang dilaporkan di Malaysia adalah sebanyak 3,000 setiap tahun (Sumber: Parlimen Malaysia, Rujukan: 6988, 16/6/2014).

 

Tinggalkan komen anda