
Oleh Mahazir Abu Hassan (Baling)
BALING,12 Nov (Malaysiaaktif) — Projek tebatan banjir di kawasan berhampiran sungai perlu dipercepatkan memandangkan musim tengkujuh dengan taburan hujan lebat di sini sejak seminggu lalu.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertindak segera bagi memastikan tidak berlaku hakisan di tebing sungai.
Beliau yang membuat lawatan ke Kompleks Belia dan Sukan Batu 42 di sini, malam tadi untuk bertemu dengan mangsa banjir berkata projek tebatan banjir merupakan keperluan kecemasan dan seharusnya pihak berwajib bertindak serta-merta.
Dalam kejadian terbaharu di daerah ini, dua keluarga kehilangan tempat tinggal apabila rumah mereka yang terletak di tebing Sungai Ketil runtuh setelah dilanda arus sungai yang kuat. Mereka telah dipindahkan ke KEDA Banggol Petai.
Sementara itu, Tinjauan wartawan Malaysiaaktif ke kawasan terbabit pagi tadi mendapati keadaan reda sedikit dengan cuaca semakin cerah dan paras air Sungai Ketil berada pada paras selamat.
Semua pusat pemindahan mangsa banjir ditutup pada pukul 2.00 petang tadi dan sebahagian mangsa banjir telah pulang untuk membersihkan rumah masing-masing.
Turut melawat mangsa banjir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob.