Skip to main content
HomeViral

KKMM Tidak Rancang Sekat Facebook, WhatsApp

By 19 November 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menyekat akses laman Facebook dan WhatsApp, seperti yang dilakukan di China.

Namun, beliau berkata pengggunaan laman sosial tersebut tertakluk kepada undang-undang dan sekiranya mereka menyalahgunakan platform tersebut, tindakan sewajarnya akan diambil.

“Pihak kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa komited dan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang dalam menangani penyalahgunaan media sosial.

“SKMM turut memantau dan sekiranya terdapat sebarang kandungan bercanggah dengan Akta 588, tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 1,368 aduan diterima berkaitan penyalahgunaan media sosial termasuk kes blogger, Alvin Tan.

“Untuk makluman, kes Alvin Tan didakwa di bawah subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Akta Hasutan 1948, di mana kes tersebut sedang disiasat polis.

“Pihak SKMM akan memberi kerjasama dan bantuan kepada pihak polis, sekiranya diperlukan,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan Facebook menutup laman milik Alvin Tan sehari selepas dia didakwa menghina umat Islam dengan menunjukkan satu siri gambar di mana dia menggunakan helaian daripada Al-Quran sebagai kertas tandas.

Tinggalkan komen anda