Skip to main content
HomeViral

Nurul Izzah Digesa Jelaskan Gambar Bersama Puteri Sulu

By 19 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa Ahli Parlimen PKR-Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar  tampil menjelaskan gambar beliau bersama Puteri Sultan Sulu, Puteri Jacel Kiram yang  tersebar di laman media sosial.

Beliau menegaskan perkara sebegitu dianggap isu sensitif dan boleh mengundang pelbagai pandangan negatif.

“Benda itu memang sensitif. Nurul Izzah perlu sahkan gambar itu dan memberi penerangan. Jangan bagi orang buat spekulasi tidak betul.

“Dia kena jelaskan, sebab benda ini dah jadi viral,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berpendapat  jika gambar itu benar, perjumpaan itu boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian negara.

“Saya tidak terima apa-apa laporan lagi berhubung perjumpaan yang disebutkan tadi, tetapi dengan perkembangan baru-baru ini tentang pembunuhan mangsa culik oleh Abu Sayyaf dan proses pendamaian yang masih dibincangkan di selatan Mindanao hari ini” katanya dalam sidang media hari ini.

“Sekiranya ada rancangan atau perbincangan berhubung kedudukan kedaulatan, keselamatan maruah negara, jika benar dan saya tidak ada maklumat terkini, itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Gambar Izzah dan Jacel bertarikh 9 November lepas yang kelihatan mesra mencetuskan pelbagai spekulasi rakyat.

Kesultanan Sulu dilihat menjadi dalang peristiwa berdarah melihatkan pencerobohan bersenjata kumpulan dari Selatan Filipina di Lahad Datu pada 2013 yang mengorbankan beberapa anggota keselamatan negara.

Jacel adalah anak sulung Sultan Jamalul Kiram III yang dikatakan bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.

 

Tinggalkan komen anda