
Oleh U. Prakash & S. Shanmuganathan
GEORGETOWN 23 Nov (Malaysiaaktif) — Satu demonstrasi membantah pembunuhan anjing-anjing jalanan diadakan di hadapan Rumah Penyembelihan Ruminan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Sungai Pinang petang tadi.
Demonstrasi disertai oleh lebih 50 orang ini disertai anggota-anggota dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pak Mie Shelter (Kedah), Malaysia Animal Rescue (Kajang), SI Home Shelter (Selangor), Trap-Neuter-Release-Manage (TNRM) Selangor dan Zero Strays (Sarawak).
Pihak penganjur dalam satu kenyataan, menyatakan bahawa setiap haiwan mempunyai hak untuk hidup di bumi ini dan bantahan pada hari ini bukan bertujuan menentang kerajaan negeri tetapi untuk menunjukkan sifat belas kasihan kepada haiwan.
Menurut jurucakap penganjur, MBPP masih lagi membunuh anjing jalanan walaupun banyak aduan serta bantahan telah dikemukakan oleh orang ramai.
Perarakan pada hari ini bermula dari Rumah Penyembelihan Ruminan MBPP Sungai Pinang dan bergerak menuju Bangunan Komtar.
Setiba di Komtar, wakil pihak penganjur telah menyerahkan memorandum bantahan dan gesaan kepada wakil Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.