Skip to main content
HomeViral

Perjumpaan Izzah, Jacel Sengaja Dipolitikkan – Tian Chua

By 23 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Parlimen)

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Naib Presiden PKR, Tian Chua membidas semua dakwaan mengatakan perjumpaan antara Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Jacel H.Kiram, anak perempuan Sultan Sulu, Jamalul Kiram telah mencabar kedaulatan dan undang-undang negara.

Beliau memaklumkan insiden itu jelas diperbesarkan dan dimanipulasikan oleh beberapa pihak tertentu demi kepentingan politik.

“Kita selalu pergi ke persidangan antarabangsa dan kita juga bergambar dengan pelbagai pihak.

“Seperti yang dijelaskan terlebih dahulu, Nurul Izzah hanya tetamu yang dijemput ke acara tersebut. Kami sememangnya menyesal dan rasa tidak selesa justeru Izzah juga telah memohon maaf pada mangsa tragedi Lahad Datu ekoran kesilapan itu,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Batu turut melahirkan rasa hairan terhadap proses siasatan pencerobohan Lahad Datu yang masih tidak didedahkan kepada rakyat.

“Perbicaraan terhadap pengganas kejahatan Lahad Datu telah dilakukan, tetapi sampai sekarang ia dibuat secara tertutup dan rakyat tidak tahu kisah sebenar.”

Tian Chua juga berkata beliau sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya dipanggil untuk memberikan keterangan.

“Kita tunggu, sehingga ini saya belum mendapat sebarang maklumat. Kita tiada pilihan di negara ini, kalau dipanggil kena datang, kalau tidak datang kena tangkap.

“Kalau dipanggil saya terpaksa kerjasama. Jika saya enggan saya terpaksa berdepan waran tangkap untuk masuk lokap,” katanya lagi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Tian Chua sebagai individu yang bertanggungjawab mengatur pertemuan Nurul Izzah  bersama Jacel H.Kiram.

Beliau berkata Tian Chua telah mempergunakan Nurul Izzah dengan merancang pertemuan tersebut.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut menasihatkan Naib Presiden PKR itu supaya lebih berhati-hati dalam mengatur pertemuan sebegitu kerana tindakan tersebut boleh mengugat keamanan negara.

 

Tinggalkan komen anda