Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Majlis Khatam Al Quran Surau Al Khair Cetus Nostalgia

By 23 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya)

SHAH ALAM, 21 Nov (Malaysiaaktif) — Lebih 50 orang penghuni Kuarters Kerajaan Negeri Selangor Seksyen 16 Shah Alam mengadakan bergotong royong membersihkan surau sempena Majlis Khatam Al-Quran Surau Al Khair di sini Sabtu lepas.

Majlis anjuran Persatuan Penduduk dan Surau Al Khair Kuarters Kerajaan Negeri Selangor ini antara inisiatif menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan penduduk yang kebanyakannya berasal dari luar.

Bagi mereka, majlis khatam Al-Quran ini mencetuskan nostalgia akan kemeriahan majlis sedemikian di kampung halaman masing-masing. Walaupun sekadar memberikan keterujaan ‘proksi’, sekurang-kurangnya ia mampu melepaskan kerinduan.

 

Majlisnya mungkin sederhana, namun ia amat bermakna bagi penduduk sebagai antara usaha mengapungkan nilai-nilai murni dengan mentengahkan peranan Al-Quran dalam kehidupan masyarakat setempat.

Lebih 300 orang turut menghadiri majlis menghatam Al-Quran yang disertai oleh seramai 30 kanak-kanak berumur di antara tujuh hingga 12 tahun. Majlis bermula selepas solat Maghrib.

Seorang penduduk, Khairunnisa Veronica Abdullah yang hampir 19 tahun memeluk Islam berkata beliau seronok bersama meraikan majlis kerana dapat bermesra dan memantapkan silatulrahim dengan jiran-jiran, memandangkan pada hari-hari biasa masing-masing sibuk dengan kerja dan kewajipan lain.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk dan Surau Al Khair juga bersetuju bahawa majlis sedemikian membantu merapatkan silatulrahim di antara penduduk.

Seorang penduduk, Muriana Jamion berkata majlis ini berbaloi kerana kos turut diperuntukan oleh Pusat Zakat Selangor.

Ahli jawatankuasa Biro Wanita Penduduk, Norshila Hashim dan Khatijah Mat Piah pula masing-masing berkongsi pendapat yang sama, selain menyokong agenda untuk mengeratkan hubungan sesama jiran.

Acara yang diadakan setahun sekali ini berbeza daripada yang selalu diadakan di tempat-tempat lain di bandar, iaitu dengan menggunakan perkhidmatan katering. Masak-memasak dan penyediaan makanan dilakukan sendiri secara bergotong-royong oleh penduduk.

Susulan daripada majlis ini semua peserta khatam Al-Quran akan dibawa ke Port Dickson sebagi hadiah daripada Persatuan Penduduk dan Surau Al Khair pada 19 Disember.

 

Tinggalkan komen anda