Skip to main content
HomeViral

Hubungan DAP-PKR Makin Rapuh Ekoran Keangkuhan Guan Eng

By 23 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Parlimen)

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon berpendapat perbezaan pendapat di antara DAP dan Pas yang berlarutan sehingga kini telah merebak ke PKR ekoran salah guna kuasa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP.

Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon menjelaskan Ketua Menteri itu dilihat sebagai pemimpin yang tidak boleh dikritik dan ditegur berikutan sokongan kuat rakyat negeri tersebut.

“Nampak sangat retakan di dalam Pakatan Harapan selepas pergaduhan antara DAP dan Pas. Kini PKR juga menunjukkan ketidakpuasan mereka terhadap DAP.

“Sudah jelas di depan mata bagaimana keangkuhan Guan Eng selepas mendapat sokongan padu di Pulau Pinang menjadikan beliau seorang yang tak boleh terima kritikan atau komen,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan para pengamal media juga akan dikenakan tindakan jika mereka bertindak mengkritik atau mengeluarkan laporan yang negatif terhadap kerajaan negeri itu.

“Keangkuhan ini menunjukkan prinsip dalam politik itu sama. Itu yang saya nampak pada Guan Eng sekarang,” katanya.

Sebelum ini,  Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menggesa Lim Guan Eng menarik balik dan memohon maaf secara terbuka atas tuduhan melulu terhadap lima wakil rakyat PKR berikutan isu usul tambakan laut.

Menurut AMK, tuduhan itu tidak berasas dan tidak sepatutnya dikeluarkan seorang ketua kerajaan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong kepimpinan beliau sejak 2008.

 

Tinggalkan komen anda