Skip to main content
GlobalHomeViral

Penduduk Bandaraya Paris Dicengkam Cemas

By 14 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Malaysiaaktif) — Suasana di Paris sekarang dicengkam cemas  berikutan beberapa serangan yang dilancarkan di bandaraya itu.

Seorang pelajar Malaysia yang dihubungi berkata seluruh penduduk Paris menguncikan diri mereka di dalam rumah.

“Semua orang takut untuk menggunakan keretapi bawah tanah Metro atau pun berjalan di sekitar Paris. Semua sekolah akan ditutup esok. Semua orang hanya duduk di rumah, mereka begitu takut.”

Sementara itu, langkah keselamatan di bandaraya itu dipertingkatkan hingga beberapa buah hotel tidak lagi membenarkan sesiapa keluar atau pun masuk ke premis mereka.

Serangan dikatakan berlaku pada kira-kira pukul 10.40 malam waktu tempatan.

Warga Malaysia yang tinggal di sekitar Paris menghubungi satu sama lain sejurus selepas berita gempar itu tersebar bagi memastikan semua berada dalam keadaan selamat dan terjaga.

Penduduk Paris kini hanya mengikuti perkembangan tragedi-tragedi berdarah itu melalui laporan berita TV dan media sosial.

Penyerang yang lengkap bersenjata automatik dan bom menyerang restoran-restoran, dewan konsert dan sebuah stadium sukan di beberapa lokasi sekitar Paris menyebabkan sekurang-kuranya 120 orang maut dalam apa yang disifatkan sebagai serangan pengganas yang tidak dijangka.

Mereka dikatakan membunuh secara sistematik hampir 100 orang yang sedang menyaksikan sebuah konsert rock di Dewan Bataclan. Komando pencegah pengganas kemudian melancarkan serangan ke atas bangunan tersebut untuk menyelamatkan mereka yang masih hidup sementara para penyerang dikatakan meletupkan diri mereka.

Dalam lima serangan lain di bandaraya itu, kira-kira 40 orang terbunuh, termasuk apa yang jelas disifatkan sebagai serangan bom berani mati di luar stadium Stade de France, St Denis, yang terletak di bahagian utara Paris.

Sehingga kini masih belum pasti sama ada para penyerang itu masih bebas.

 

Tinggalkan komen anda