Skip to main content
HomeSabahViral

Takut, Trauma Dan Kesal – Hukum Penyebar Maklumat Palsu

By 26 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Yahya Abdul Rajak (Sabah)

KOTA KINABALU, 26 Nov (Malaysiaktif) – Penyebaran maklumat 10 individu pengebom berani mati di Sabah yang dikaitkan dengan Kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG), Islamic State (IS) dan Moro National Liberation Front (MNLF) memberi kesan negatif kepada rakyat Sabah, umumnya.

Kebimbangan semakin menjadi berikutan serangan berdarah di Perancis yang dipercayai angkara kumpulan militan Islamic State (IS) hingga mengorbankan 129.

Peristiwa Tanduo, yang masih menghantui ingatan rakyat Sabah, terutama di daerah Lahad Datu belum hilang dan masyarakat masih merasai kesannya.

Kejadian di Tanduo amat dirasai seluruh masyarakat Sabah hingga penyebaran maklumat palsu tentang dakwaan rancangan serangan di Sabah memberi impak tidak sihat kepada aktiviti seharian penduduk.

Di setiap daerah di Sabah, sama ada di Sandakan, Tawau, Keningau, Kudat, Tambunan dan mana sahaja, kebimbangan menggugat masyarakat yang cintakan keamanan dan kedamaian.

Pelbagai cadangan dan pandangan telah diberikan kepada kerajaan negeri dengan harapan tindakan tegas diambil dalam bagi mempertingkatkan aspek keselamatan.

Seorang guru (bukan nama sebenar), Ahmad Tamin, 40 tahun, berkata “kerajaan wajar mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu tersebut sebagai pengajaran, jika kerajaan tidak bertegas tidak mustahil perkara ini akan terus berlaku.”

Seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Imely pula berkata, “perlakuan penyebaran ini amat tidak bertanggungjawab, ancaman dan keselamatan bukan suatu permainan dan kerajaan tidak boleh ambil mudah.”

Tinjauan umum yang dilakukan juga jelas memberi gambaran betapa penyebaran maklumat ini memberi impak negatif yang sangat besar kepada penduduk Sabah.

Baru-baru ini Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata Individu yang menyebar maklumat di laman sosial kononnya terdapat 10 pengebom berani mati di ibu kota dan Sabah sehingga menjadi viral baru-baru ini sudah dikenal pasti.

Beliau berkata pihaknya sudah mengesan individu tersebut yang dipercayai memulakan rentetan berita berkenaan di Sabah.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak memandang ringan sebarang bentuk ancaman sama ada dari dalam atau luar negara dan akan menyiasat ancaman seperti kes diviralkan itu.

 

Tinggalkan komen anda