Skip to main content
HomeViral

PKR Terus Kerjasama PAS, Sambut Baik Kemunculan Amanah

By 27 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Malaysiaaktif) – Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menegaskan pihaknya masih bekerjasama dengan PAS untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Beliau berkata pihaknya juga menyambut baik kelahiran parti baru, Amanah dalam memperkasakan dan memperjuangkan agenda rakyat.

“PKR menyambut kelahiran Amanah dan menerima dalam keluarga besar kita.

“PKR akan meneruskan tahaluf siyasi dengan PAS dan kerjasama dengan PSM serta parti-parti politik di Sabah dan Sarawak dan NGO yang menjuarai hak serta agenda rakyat,” katanya ketika berucap di Shah Alam hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak juga yakin kerjasama bersama PAS akan meraih kemenangan walaupun tidak diiktiraf secara rasmi.

“Saya optimis dengan Pakatan Harapan bersama PKR, DAP, Amanah dan kita akan teruskan tahaluf siyasi dengan PAS.

“Yang penting kita mahu menjamin satu dalam satu (dalam pilihan raya). Jadi perkara ini kita boleh bincangkan secara bersama walaupun dalam 2 platform berbeza.” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan peranan anggota partinya terutama wanita dan pemuda supaya sentiasa cerdik dalam mengatur strategi untuk meraih undi rakyat.

“Semangat dalam perjuangan adalah satu faktor yang penting, tetapi harus diingat perjuangan adalah maraton.

“Kita harus punya tenaga, kegigihan, kesabaran, disiplin bagi menelusuri liku-liku, ombak dan onak duri serta gelombang tsunami perjuangan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Presiden PAS , Datuk Seri Abdul Hadi Awang memaklumkan demi rakyat, mereka sedia menjalinkan kerjasama dengan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan meletakkan isu-isu rakyat sebagai keutamaan.

Hadi berkata tindakan itu adalah pendekatan terbaru yang diambil berikutan parti Islam itu menolak segala fahaman politik yang berbeza.

Beliau menegaskan PAS akan sentiasa bekerjasama dalam perkara yang baik dan menolak perkara kemungkaran.

 

Tinggalkan komen anda