
Oleh Azri bin Zainal Abidin &Mohd.Anuar bin Ibrahim (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 16 Nov (Malaysiaaktif) — Satu kejadian tanah runtuh dan kebocoran gas LPG berlaku di lereng bukit bersebelahan Jalan Raja Chulan.
Ketua Operasi Balai Bomba Jalan Hang Tuah, Mohd Irwan Hussin berkata pihaknya yang menerima panggilan pada pukul 10.00 pagi terus bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan kerja menyelamat dan pembersihan.
Operasi menyelamat dan pembersihan yang dijalankan oleh oleh 41 anggota bomba dan penyelamat,15 anggota polis, empat anggota dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta tujuh anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dilancarkan pada kira-kira pukul 10.55 pagi. Pusat kawalan bomba turut dibuka berhampiran lokasi kejadian.
Menurut Mohd Irwan, runtuhan memusnahkan seluruh bahagian dapur restoran La Vie En Rose hingga berlaku kebocoran gas di kawasan tersebut.
Sejurus kemudian penduduk di persekitaran diminta mengosongkan bangunan kediaman dan restoran tersebut ditutup selama dua minggu.
Pihak bomba yang menghentikan sementara operasi pembersihan dan menyelamat pada kira-kira pukul 6.15 petang meramalkan kemungkinan berulang gelongsoran tanah sekitar kawasan kejadian berikutan hujan lebat yang bermula pada kira-kira pukul 6.30 petang di sekitar Kuala Lumpur.
Mohd Irwan berkata kerja-kerja pembersihan akan disambung semula pagi esok.