Skip to main content
HomeViral

Ali Tinju Direman, Dipercayai Menghasut, Sentuh Perkauman

By 22 Disember 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Malaysiaaktif) – Polis hari ini mengesahkan Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu Wilayah Persekutuan dan Selangor (PVTM), Mohd Ali Baharom akan ditahan reman selama dua hari susulan rakaman suaranya yang tersebar tempoh hari.

Kenyataan tersebut tersebar melalui aplikasi WhatsApp dan dipercayai mempunyai unsur hasutan dan perkauman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata individu terbabit telah dimaklumkan untuk tampil memberikan kerjasama di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, kira-kira pukul 7.00 malam tadi.

“Dia direman selama dua hari hingga esok, di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ali Tinju direman susulan rakaman suaranya yang tersebar melalui WhatsApp meminta anak Melayu bersatu dan mempertahankan hak mereka supaya bangsa mereka tidak menderita seperti yang dialami di Singapura.

Beliau yang juga Pemimpin Gerakan Merah 1Malaysia menggesa orang Melayu memastikan kuasa Melayu terus kuat untuk mengelakkan mereka daripada ditindas peniaga Cina.

Rakaman itu dipercayai dibuat susulan kekecohan di Kompleks Beli-belah Kota Raya, Ahad lepas.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, kerana mengeluarkan kenyataan yang mempunyai unsur hasutan atau perkauman.

 

Tinggalkan komen anda