Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedahViral

‘Chowrasta’ Perjuangan Anak Melayu Inspirasi Kejayaan Bangsa

By 1 Disember 2015Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Mohd Zihan Zari (Kuala Muda)

MERBOK, 1 DIS (Malaysiaaktif) — Filem Chowrasta yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Records selepas berjaya mengumpul 4,460 penonton pada tayangan perdananya menambat hati lagi apabila lebih 900 orang hadir semasa pratonton di Dewan Perdana Universiti Teknologi Mara (UITM) di sini semalam.

Rektor UITM Kedah, Dr Asmadi Mohammed Ghazali berkata, filem ini dipadankan daripada  buku biografi  “Mencorak Destini” yang mengisahkan perjalanan hidup Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar menempuh pelbagai dugaan hidup hingga berjaya membawa diri dan keluarganya keluar dari kepompong kemiskinan menerusi pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pensyarah Kanan Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM Puncak Perdana, Shah Alam, Aminah Abd. Rhapor berkata, filem ini membawa genre aksi, komedi dan romantik yang sarat dengan mesej kisah suka duka perjuangan watak Sahol sebagai representasi penggubahan nasib anak bangsa Melayu.

Antara pelakon yang terlibat dalam filem ini dan hadir pada malam tayangan, termasuk Chem Amar dan Aminah Abd. Rhapor.

cherm

Chem Amar memegang watak utama, Sahol dalam ‘Chowrasta.’

“Saya akan terus belajar mendalami dunia lakonan  dan berusaha menjadi pelakon yang berjaya satu hari kelak,” kata Chern Amar,24, yang memegang watak sebagai Sahol. Beliau dipilih memegang watak itu kerana wajahnya mirip wajah Dr. Sahol Hamid.

Sementara itu, menurut kenyataan yang dihantar ke Malaysiaaktif , Aminah yang juga Line Producer filem tersebut berkata ‘Chowrasta’ arahan Datuk Prof Abdul Razak Mohaideen berjaya mengutip hampir RM6 juta selepas ditayangkan di Perancis. Filem itu juga menarik seramai 4,460 penonton sepanjang tayangan perdana pada Jun lalu.

scene

Satu adegan dalam ‘Chowrasta’ – Nora Danish dan Chem Amar.

Menurutnya lagi, filem yang diterbitkan oleh Fakulti Filem, Teater dan Animasi (Fita) UiTM dengan kerjasama Nation Film Studio Sdn Bhd itu menelan belanja RM2 juta dan kini sedang dipromosikan ke 35 cawangan UiTM seluruh negara.

Berdasarkan pengalaman mengajar seni lakon dan sebagai Pengarah Drama, Teater dan Filem, beliau amat memahami keperluan’Chowrasta.’  Sebagai insan yang pernah merasai zaman kesusahan dan melihat ibunya bekerja sendiri di kampung untuk membesarkan anak-anak, beliau berjaya menjiwai watak Ibu Sahol sehinggakan ramai penonton rasa sebak dan terharu.

Beliau berharap menerusi filem ini, orang Melayu dapat menilai diri dan bermuhasabah untuk terus maju.

IMG_2791

‘Chowrasta’ akan mula ditayangkan di 60 buah pawagam di seluruh negara bermula 3 Disember, kecuali di Kedah pada 6 Disember ini.

Pelajar Jurusan Sains Komputer UiTM, Mohd Nazrin Shamsudin,19, berkata, “filem ini bagus untuk ditonton oleh semua kerana boleh memberi kesedaran bahawa walaupun miskin tetapi berkat usaha bersungguh-sungguh kita boleh mencapai apa yang dicitakan.”

Pelajar UiTM, Noorizati Wahab,18, berpendapat filem ini boleh menjadi  pembakar semangat untuk melahirkan anak bangsa yang maju, berilmu, cintakan identiti rumpun sendiri dan juga negara.

Filem tersebut turut dibintangi oleh pelakon-pelakon handalan, termasuk Datuk Rosyam, Nora Danish, Fauzi Nawawi, Wan Hanafi Su, Safiah Hanifah dan Risteena Munim.

Koordinator Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa ?UiTM Kedah, Azlan Abdul Rahman berkata, tayangan amal perdana ‘Chowrasta’ ini amat baik, terutama kepada pelajar kerana ia bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberikan input positif kepada penonton.

Menurutnya, 20 peratus daripada hasil kutipan tayangan amal akan disalurkan ke Tabung ‘Program Mengubah Destini Anak Bangsa’ (MDAB) UiTM Cawangan Kedah.

MDAB diilhamkan sendiri oleh Dr. Sahol Hamid untuk memberi peluang pendidikan kepada anak-anak miskin Melayu dan Bumiputera yang berpendapatan ibu bapa kurang daripada RM3000 sebulan.

 

Tinggalkan komen anda