
Oleh Faris Fuad (PWTC)
KUALA LUMPUR, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan cadangan mengehadkan tempoh Presiden Umno memegang jawatan selama dua penggal sebagai terlalu singkat.
Beliau berkata tempoh itu terlalu pendek bagi seorang presiden yang ingin mengatur strategi pergerakan parti.
“Dua penggal ialah tiga tahun kali dua, apa yang boleh dibuat dalam enam tahun. Bagi saya cadangan itu terlalu pendek,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Perwakilan Bersama Ketua Pergerakan Pemuda Umno, sempena Perhimpunan Agung Umno 2015 di PWTC hari ini.
Dalam pada itu, beliau berpendapat tempoh masa yang diberikan untuk memimpin haruslah wajar bagi memberi ruang kepada presiden untuk membuat perubahan positif.
“Tempoh memegang jawatan utama itu perlulah munasabah, bagi membolehkan Presiden Umno melaksanakan pelbagai perancangan demi kebaikan ahli parti dan rakyat,” ujarnya lagi.
Semalam, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya di sebuah majlis mencadangkan Umno mengehadkan tempoh presiden parti itu kepada dua penggal.
Beliau juga menggesa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk “berehat seketika” daripada tugas sebagai perdana menteri sementara menunggu siasatan terhadap skandal kewangan yang didakwa membabitkan beliau selesai.