Skip to main content
EkonomiHomeViral

Najib Bidas Serangan Mahathir dan Muhyiddin

By 8 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Malaysiaaktif) — Datuk Seri Najib Tun Razak membuat serangan balas terhadap serangan bertubi-tubi dari Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga presiden UMNO bertindak demikian berikutan ucapan oleh kedua-dua tokoh tersebut malam semalam dalam mana mereka menyerang membabitkan isu-isu 1MDB dan derma RM2.6bil.

Berucap hampir satu jam kepada perwakilan dalam sesi tertutup sebelum bermula perhimpunan agung UMNO, Najib memberi respons terhadap dakwaan Dr Mahathir bahawa rakyat “akan menjadi pengemis” sekiranya beliau terus menerajui Kerajaan.

Sebagai sokongan, beliau menunjukkan kepada perwakilan fakta dan angka bagi menafikan segala tuduhan tersebut.

Antaranya, termasuk bahawa Pelaburan Langsung Asing mencatat nilai tertinggi pada 2013 kepada RM38.2bil dan bahawa Keluaran Dalam Negeri Kasar meningkat kepada 61% daripada AS$202.26bil pada 2012 kepada AS$326bil tahun lepas.

Muhyiddin tidak hadir sepanjang sesi tertutup. Kerusi yang dikhaskan untuk beliau di sebelah kanan Najib dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelihatan kosong.

Najib berkata walaupun beliau menghormati Dr Mahathir, namun bekas Perdana Menteri itu tidak sepatutnya bertindak melampau.

“Saya marah, darah saya menyirap tetapi saya tetap tenang,” beliau berkata sambil merujuk kepada hujah-hujah Dr Mahathir dan Muhyiddin di Kelab Sultan Sulaiman sebelum ini.

“Saya menghormati Tun Mahathir, tetapi jangan bertindak melampaui batas. Jangan suka hati buat tuduhan,” katanya.

Najib memberitahu para perwakilan bahawa beliau telah menjelaskan beberapa kali kepada ahli UMNO dan rakyat tentang isu-isu berkenaan.

 

Tinggalkan komen anda