Skip to main content
HomeViral

Sokong Pimpinan Sedia Ada, Tolak Serpihan Parti – Zahid

By 8 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Muhammad Rizal Redzuan (PWTC)

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan anggota parti seharusnya menyokong kepimpinan sedia ada untuk memastikan Umno terus kukuh dan bergerak ke depan.

Jelasnya, tindakan beberapa individu yang kononnya membangkitkan isu demi kepentingan parti hanya akan melemahkan dan keutuhan parti.

“Kalau mahu parti kukuh, jangan ada serpihan dalam parti, supaya parti terus bersatu.

“Apa perlu mengadakan perjumpaan lain, di tempat lain, dengan kumpulan yang lain, dengan pemikiran yang lain dan pendirian yang lain,” katanya semasa merasmikan Pertandingan Akhir Pidato Piala Presiden Umno 2015, di PWTC hari ini.

Beliau berkata pucuk pimpinan harus tabah dan konsisten bagi menangani masalah parti yang mendatang.

“Sebab tidak ada pemimpin hebat yang tidak diuji. Kita memberikan dukungan kepada pemimpin terdahulu yang teruji, pemimpin tidak sehebat mana, yang menghebatkan pemimpin-pemimpin itu adalah kita yang di bawah, kita yang di akar umbi.

“Pemimpin parti hari ini menghadapi cabaran yang lebih getir berbanding pemimpin sebelum ini kerana zaman ini lebih mencabar,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Zahid menyifatkan Pertandingan Akhir Pidato Piala Presiden Umno 2015 sebagai platform anak muda untuk menyampaikan maklumat mengenai dasar kerajaan kepada rakyat di seluruh negara.

Platform tersebut akan meletakkan mereka di barisan hadapan bagi menangkis tomahan dan fitnah kepada kerajaan.

“Komunikasi bersemuka sangat efektif walaupun d zaman media siber ini. Tempoh 90 hari diberi kepada Ketua Penerangan UMNO bagi merealisasikan penubuhan kelab ini di seluruh negara untuk bergerak sebagai jentera hadapan UMNO,” ujar Zahid.

Seramai 15 peserta dari seluruh negara mewakili negeri-negeri di Malaysia akan berentap dan merebut piala berprestij tinggi ini.

Hadiah kemenangan dilaporkan telah dinaikkan pada tahun ini, di mana peserta yang dinobatkan Johan akan membawa pulang piala dan wang tunai sebanyak RM200,00.00, Naib johan RM150,00.00, ketiga RM 100,00.00 dan sagu hati sebanyak RM2000.00 kepada individu lain yang menyertainya.

Sementara itu, laman media yang menempatkan ruang kerja bagi ahli media bertugas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) esok dirasmikan Ahmad Zahid bersama Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Setiausaha Kerja UMN, Datuk Ab Rauf Yusoh.

Tempat media yang terletak di aras 2 PWTC itu dilengkapi wifi berkelajuan tinggi, ruang makan, sofa dan talian faks bagi memudahkan dan memberi keselesaan para pengamal media membuat kerja.

Dilaporkan sebanyak 50 media tempatan dan antarabangsa ditempatkan di lokasi tersebut.

 

Tinggalkan komen anda