Skip to main content
HomeViral

Konsert Lagu Untukmu, Kenang Jasa Pengarah Muzik Ooi Eow Jin

By 15 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 16 Dis  — Radio Televisyen Malaysia (RTM) menganjurkan ‘Konsert Lagu UntukMu’ bagi mengenang jasa pengarah muzik tersohor pada era 1980-an dan 1990-an iaitu Datuk Ooi Eow Jin, 77, yang memulakan kerjayanya dengan Orkestra RTM pada 1963 hingga 1983.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, ciptaan muzik Ooi merupakan satu warisan untuk Malaysia memandangkan beliau cukup aktif mengembangkan seni muzik tanah air.

“Ciptaan muzik Eow Jin itu merupakan rangsangan kepada industri muzik dan kepada seni pengubahan lagu.

“Beliau bukan Melayu tetapi, penjiwaan muzik Kemelayuan Malaysia beliau itu sangat tersohor,” katanya ketika ditanya semasa menghadiri Konsert Lagu Untukmu Datuk Ooi Eow Jin di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini, Selasa malam.

Rais berkata usaha RTM dalam membantu Ooi, sangat dialu-alukan kerana beliau kini mengidap penyakit Alzheimer membuatnya tidak mengingati banyak perkara selain sukar untuk bertutur.

Sementara itu, bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin berkata Ooi merupakan seorang anak Malaysia yang sebenar kerana lagu-lagunya dapat dihayati oleh semua kaum, tidak terbatas kepada orang Cina sahaja.

“Muzik olahan Eow Jin telah diterima oleh semua pihak,” katanya.

Zainuddin berkata konsert yang dianjurkan itu adalah usaha mulia dan mengajak generasi baharu menghargai sumbangan karya orang lama seperti beliau dalam membina semangat Malaysia yang sebenarnya.

Bagi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal pula berkata, Ooi dahulunya adalah seorang anak muda yang berbakat bermain muzik dan kini beliau sudah berumur dan memerlukan bantuan.

Mohamad Zabidi berkata, program khas seperti ini sangat membantu seorang yang telah banyak berjasa dalam membangunkan industri muzik negara seperti beliau.

Konsert anjuran RTM dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia ini mencatatkan sejarah tersendiri dengan memberi penghargaan kepada komposer terkenal seperti Ooi yang telah banyak menyumbang bakat serta keringat menerusi Orkestra RTM yang dahulunya dikenali sebagai Orkestra Radio Malaya.

Persatuan Karyawan turut menyumbang RM40,000 kepada Ooi bagi meringankan beban beliau.

Rakaman konsert ini turut menghimpunkan 14 lagu ciptaan Ooi yang dipersembahkan artis, antaranya Lagu Untukmu, Serunai Perindu, Kisah Gadis Sepi dan Terkenang dan Masa Berlalu.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda