Skip to main content
Berita TempatanEkonomiHomePulau Pinang

Masih Ada yang Tidak Tahu BR1M Boleh Dimohon Atas Talian

By 19 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Mohd Zihan Zari (Kedah) BR1M 2016

GEORGETOWN, 19 Dis (Malaysiaaktif) — Orang ramai menyerbu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Lebuh Pantai di sini kelmarin apabila mengetahui permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan ditutup pada 31 Disember ini.

Mereka berbaris seawal pukul 9.00 pagi di hadapan pejabat LHDN yang terletak di Bangunan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang di Lebuh Pantai.

Keadaan berlaku kerana masih ramai dalam kalangan rakyat yang masih tidak tahu bahawa permohonan untuk mendapatkan BR1M boleh dibuat secara atas talian melalui laman web LHDN.

 

d2ac4f68-eafc-4304-8104-8ad9cdc5cf76

 

Walaupun sejak kebelakangan ini pelbagai pendapat disuarakan berhubung skim bantuan tersebut, apa yang nyata sebahagian besar rakyat masih berasa perlu untuk mendapatkan sumbangan kerajaan itu memandangkan ia sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban perbelanjaan.

Bagi Ana Ramli, 25, walaupun jumlahnya tidak seberapa berbanding beban harga barang yang sentiasa mencengkam, namun ia setidak-tidaknya membantu meringankan perbelanjaan barang dapur di rumah.

Sentimen yang sama dikongsi oleh Kanseh Vello, 57, dari Padang Tembak. Dia juga berkata sumbangan BR1M melegakan sedikit perbelanjaan untuk keluarga.

Mohd Khalid Hussein, 47, pula berkata BR1M elok digunakan daripada langsung tidak mendapat apa-apa.

Sementara itu, menurut satu sumber dari LHDN Cawangan Lebuh Pantai, pendaftaran BR1M telah bermula pada 5 Disember lepas dan akan berakhir pada 31 Disember.

Orang ramai boleh mengemas kini maklumat atau membuat permohonan baharu melalui portal rasmi BR1M LHDN di alamat https://ebr1m.hasil.gov.my atau menggunakan Borang Bantuan Rakyat 1Malaysia dan kembalikannya setelah lengkap diisi kepada mana-mana-mana cawangan LHDN.

Butiran boleh didapati melalui talian bebas tol 1-800-88-2716 (LHDNM) atau talian 03-88825465 / 4566 (Kementerian Kewangan).

 

Tinggalkan komen anda