Skip to main content
EkonomiHomeViral

Najib Imbau Waktu Berdiri Di Belakang Mahathir Sebagai PM

By 10 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (PWTC)

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Malaysiaaktif) — Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengimbau kembali sejarah Umno apabila beliau berdiri teguh di belakang kepimpinan Presiden parti pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, masalah dalaman parti telah berlaku ekoran perebutan jawatan presiden yang menyaksikan Tengku Razaleigh Hamzah bertanding bersama Dr Mahathir.

Berikutan itu, Najib sekali lagi menggesa semua ahli Umno untuk meletakkan kepercayaan penuh kepada pucuk pimpinan seperti yang dilakukannya sebelum ini.

“Lagipun, sepanjang saya menempuh onar dan ranjau kerjaya menjadi ahli politik dan anggota pentadbiran, semua orang tahu, saya seorang yang tidak confrontational, saya juga tidak pernah menjatuhkan sesiapa, apatah lagi untuk mengkhianati parti Umno tercinta ini.

“Saya jugalah pada tahun 1987, di persimpangan getir untuk menyebelahi pucuk pimpinan Umno pada masa itu, telah dengan penuh kasih dan hormatnya, tetap memilih untuk taat dan bersetia, kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir, dalam mempertahankan kedudukannya ketika itu, sebagai Presiden Umno, sekaligus mengekalkan dirinya sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam ucapan dasar beliau ketika merasmikan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 hari ini.

Oleh yang demikian, Presiden meminta semua ahlinya untuk terus berpegah teguh dan taat setia kepada Umno bagi memastikan parti itu terus bergerak ke depan.

“Bertitik tolak daripada semua itu, antara perkara mustahak yang mahu saya peringatkan, adalah prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan.

“Sesungguhnya jua, kesetiaan dan ketaatan bukan sekadar menjadi nilai-nilai utama, malah merupakan sifat, sikap, prinsip dan pegangan yang semestinya berdarah daging dan menunjang dalam diri setiap orang Umno dari sebawah-bawahnya, hingga kepada pimpinan-pimpinan kanan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga sempat menyebut dasar penting dalam perlembagaan Umno yang mana tertulis Timbalan dan Naib-naibnya perlu membantu tugas-tugas Presiden.

Tambahnya, dasar itu tidak pernah menafikan hak menegur kepimpinan dan menyuarakan pendapat namun perlu dibuat melalui saluran yang betul.

“Berbalik kepada situasi semasa Umno, dimaktubkan dalam perlembagaan parti bahawa, amanah besar dan tanggungjawab yang terpikul di bahu seorang Presiden, melalui fasal 9.8.1, adalah menjadi pemimpin utama dan bertanggungjawab menjaga kesempurnaan perjalanan parti.

“Manakala, fasal 9.8.2, dengan terang secara harafiahnya, memperincikan tanggungjawab dan amanah utama, bagi seorang Timbalan Presiden itu, fasalnya itu menyebut, Timbalan Presiden membantu tugas-tugas Presiden.

“Manakala, fasal 9.8.3 pula, tanggungjawab dan amanah naib-naib presiden itu dinyatakan sebagai, Naib-Naib Presiden itu kerjanya membantu tugas-tugas Presiden.” ujarnya.

Sebelum ini, Tun Mahathir dan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan beliau untuk “berehat sekejap” sehingga semua masalah seperti 1MDB dan dana 2.4 billion diselesaikan.

 

Tinggalkan komen anda