Skip to main content
EkonomiHome

PAU 2015: Wanita Sebagai ‘Key Engine of Growth’

By 12 Disember 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Syed Hisham Shah (PWTC)

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Malaysiaaktif) — Perhimpunan Agung UMNO 2015 akan melabuhkan tirai hari ini, dengan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak bakal menyampaikan ucapan penggulungan dan amanat kepada anggota parti, selepas tiga hari bersidang.

Usul ekonomi memulakan tirai untuk sesi persidangan pada hari ini. Memulakan perbahasan, Perwakilan dari Rantau Panjang Datuk Haji Abdullah Mat Yassim, meluahkan rasa syukurnya dengan projek infrastruktur berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan di negeri Kelantan, iaitu Jalan Pasir Mas Bypass, Kelantan Fasa 2 yang melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 630m dan naik taraf bulatan Pasir Mas – Salor – Rantau Panjang.

Beliau berkata pelaksanaan projek ini ternyata mampu memberi pulangan, seterusnya memantapkan ekonomi, terutama buat rakyat Kelantan. Beliau menyentuh penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang seharusnya lebih tegas dan menyeluruh dalam membasmi kenaikan harga barang oleh peniaga yang bagaikan menangguk di air keruh, agar taraf ekonomi tempatan menjadi lebih unggul.

Turut membuat perbahasan, wakil pergerakan wanita UMNO, Sharifah Norhashimah Syed Kamarudin. Beliau menyeru agar wanita diberikan peluang untuk menerajui ekonomi negara melalui Majlis Tindakan Ekonomi Wanita bagi memperkasakan lagi usahawan wanita bumiputera pada masa akan datang.

” Wanita sebagai ‘key engine of growth’ menjadi penggerak utama dalam usaha mengurangkan jurang ekonomi dan memperjuangkan hak wanita bumiputera,” katanya ketika mencadangkan usul ekonomi hari ini.

 

Tinggalkan komen anda