Skip to main content
Berita TempatanEkonomiHome

PERNIAGAAN MELEPASI SEMPADAN

By 18 Disember 2015Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh Syed Hisham Syed, Putrajaya, 9 November (Malaysiaaktif) – Perniagaan mungkin merupakan salah satu sumber rezeki yang paling mendatangkan kepuasan. Apatah lagi di sebuah negara seperti Malaysia yang rata-rata rakyatnya menikmati taraf kehidupan yang baik. Dengan ekonomi yang berkembang pesat, Malaysia menawarkan pulangan menarik kepada para usahawan dan peniaga.

Perniagaan elektronik (e-niaga) atau perniagaan dalam talian merupakan suatu kaedah perniagaan yang membolehkan seseorang berniaga melalui internet atau ICT. Konsep perniagaan internet tidak jauh berbezanya dengan perniagaan konvensional. Peniaga masih memerlukan produk untuk dijual dan memerlukan pelanggan untuk membeli. Perbezaannya hanyalah proses transaksi urusniaga tersebut di mana urus niaga tersebut dijalankan secara dalam talian. Pihak pembeli dan penjual tidak bersemuka dan boleh berada beribu-ribu batu jauhnya.

Perniagaan dalam talian merupakan satu usaha memasarkan produk menggunakan internet dan menjalankan perniagaan tersebut secara maya. Walaupun produk yang dibeli tidak dapat dirasa atau disentuh, ia merupakan satu peluang terbaik untuk usahawan yang ingin memulakan atau memasarkan produk mereka ke peringkat global.

Berdasarkan Kajian Pengguna Internet 2014 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), setakat suku pertama 2014, dianggarkan pengguna internet di Malaysia adalah seramai 20.1 juta orang dengan purata umur pengguna internet berusia 31 tahun dan nisbah antara pengguna lelaki ke atas pengguna wanita adalah 1:4. Ini bermakna golongan belia wanita merupakan pengguna internet yang aktif berbanding lelaki di Malaysia.

Di Malaysia, perniagaan secara atas talian atau perniagaan dengan menggunakan capaian internet semakin mendapat sambutan pada masa ini seiring dengan kemajuan pembangunan dan ekonomi negara.

Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa trend ‘internet on-the go’ menunjukkan peningkatan kepada 65% pada tahun 2014. Kenaikan ini mempunyai kaitan dengan peningkatan sebanyak 74% penggunaan telefon pintar sebagai peranti utama untuk melayari internet.

Kecanggihan teknologi internet seharusnya dimanfaatkan masyarakat bukan sahaja untuk mengakses maklumat tetapi juga sebagai wadah perniagaan. Ini kerana terlalu banyak kelebihan perniagaan melalui internet ini, dan antaranya adalah:

i.            Memberikan akses kepada pengusaha memasarkan produk ke peringkat global 24 jam sehari 7 hari seminggu;

ii.            Menjimatkan kos perniagaan kerana perniagaan internet ini tidak memerlukan modal besar untuk memulakan perniagaan dan pengiklanan, malah ia tidak perlukan premis khusus untuk beroperasi;

iii.            Urusan jual beli dapat dijalankan dengan lebih mudah dan cepat disamping lebih mesra alam disebabkan kurang penggunaan bahan-bahan kertas dalam pegurusan dan juga pengiklanan; dan

iv.            Memberikan kemudahan menguruskan perniagaan daripada seluruh pelusuk dunia. Capaian internet membolehkan peniaga menguruskan perniagaan tanpa terikat dengan lokasi premis.

Perniagaan internet dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian kepada masalah mendapatkan lesen dan premis perniagaan di kalangan peniaga. Ini kerana pengusaha dalam talian tidak memerlukan premis dan lesen khusus untuk memulakan perniagaan mereka. Dalam erti kata lain para pengusaha boleh sahaja memulakan perniagaan hampir serta merta dan menjadi sebahagian daripada komuniti peniaga maya tanpa melibatkan perbelanjaan yang besar serta urusan yang rumit.

Kerajaan Malaysia menggalakkan penyertaan segenap lapisan masyarakat dalam pembangunan ekonomi, dan telah menyediakan struktur sokongan yang berupaya membantu para usahawan – dari membantu dalam penubuhan syarikat hingga menyediakan bantuan pembiayaan, pengurusan dan pembangunan perniagaan. Banyak syarikat di Malaysia yang besar dan berjaya hari ini bermula sebagai perniagaan kecil. Oleh itu jika keputusan untuk menjalankan perniagaan telah dibuat, ini mungkin merupakan permulaan kepada satu perjalanan yang penuh cabaran tetapi menyeronokkan.

Semoga suatu hari nanti kita mampu mewujudkan satu komuniti peniaga internet yang tersusun serta mampu berperanan dalam pembangunan dan kemajuan ekonomi negara. Sesungguhnya perniagaan dalam talian merupakan perniagaan melangkaui sempadan yang nyata.

Tinggalkan komen anda