Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Rumah Terbuka Krismas Papar – Pemangkin Perpaduan

By 14 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Zuraidah Ahmad & Jeffren Malanning (Sabah)

PAPAR, SABAH, 14 Dis (Malaysiaktif) –? Orang ramai dipelawa hadir bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Krismas Peringkat Parlimen Papar bermula pukul 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari pada 26 Disember ini.

Bertemakan ‘Krismas Pemangkin Perpaduan’, majlis tersebut menyasarkan kehadiran 5,000 orang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama di Dewan Masyarakat.

Ahli Parlimen, Datuk Hajah Rosnah Abdul Rashid Shirlin merangkap  Pengerusi Jawatankuasa Induk berkata sudah tiba masanya untuk  meraikan kepelbagaian di negeri ini menerusi pendekatan sedemikian bagi mengekal dan menyuburkan keharmonian serta suasana kekeluargaan.

“Sebelum ini skala keraian hanya di peringkat mukim dan kampung, tetapi pada tahun ini kita merasakan perlu menggabungkan rakan-rakan yang beragama Kristian di daerah Papar termasuk pihak gereja.

“Antara gereja yang terlibat sebagai penggerak utama majlis rumah terbuka ini ialah RC, SDA, SIB, Anglican dan sebagainya.

“Tetamu kehormat dijangka hadir ialah Ketua Menteri Sabah, ketua- ketua parti komponen Barisan Nasional serta yang paling penting ialah kehadiran orang ramai.

“Selain itu, para pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan koir oleh gereja-gereja terlibat serta kemunculan khas santa dan santarina yang akan mencuit hati golongan kanak-kanak termasuk anak-anak yatim serta kanak-kanak  Orang Kurang Upaya (OKU).

“Justeru, penglibatan warga daerah ini amat kita harapkan bagi merayakan Hari Natal bersama-sama masyarakat pelbagai kaum,” jelas beliau dalam sidang media di kediamannya di Kg Riggi Pengalat Kecil dekat sini semalam.

Mengulas mengenai saranan Presiden Umno kepada ahli untuk menumpukan kepada persiapan Pilihan Raya Umum (PRU) semasa Persidangan Agung Umno baru-baru ini, Rosnah menjelaskan, persiapan telah dilakukan jentera parti di kawasannya sejak kemenangan PRU13 lagi.

Malah, beliau sentiasa bersama saf kepemimpinan seperti Ketua Bahagian Umno, Datuk Seri Panglima Haji Abdul Rahim Ismail dan Aahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kawang, Datuk Haji Ghulam Haidar Khan Bahadar dalam memastikan persiapan berjalan lancar.

“Saya sangat bersyukur kerana mendapat gandingan yang cukup baik dan jitu serta tonggak kejayaan tentunya terletak kepada ketiga-tiga sayap parti iaitu pemuda, wanita dan puteri,” ujarnya.

Bagaimanapun, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata jentera parti tidak harus selesa dengan kejayaan 100 peratus yang dicatat dalam tiga kali PRU, sebaliknya melipatgandakan momentum untuk  menambah keahlian di samping mengekalkan formula yang sama menerusi sedikit penambahbaikan sesuai keadaan semasa.

Untuk rekod, Pergerakan Pemuda Umno Papar telah mendapat tempat pertama yang berjaya mendaftarkan jumlah pengundi teramai pada Jun 2015 dan Pergerakan Puteri pula mendapat tempat ketiga.

Tinggalkan komen anda