
Oleh Muhammad Rizal Redzuan (PWTC)
KUALA LUMPUR, 10 Dis (Malaysiaaktif) — Buat pertama kali dalam sejarah Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dua tingkat bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dikhaskan untuk peniaga kecil bumiputera mempromosikan jualan mereka.
Jika pada tahun-tahun sebelum ini hanya tingkat 3 PWTC disediakan untuk tapak gerai jualan sempena PAU, kali ini tingkat 4 juga dibuka untuk gerai jualan. Ini menjadikan sebanyak 427 ruang gerai untuk disewa selain 30 gerai pameran untuk agensi kerajaan sempena PAU kali ke 69. Kadar sewa yang dikenakan untuk sepanjang tempoh PAU berlangsung hanya RM 3000.00 bagi sebuah gerai.
Bagi membantu melariskan jualan peniaga, beberapa orang artis tanah air, seperti Fahrin Ahmad, Yasmin Hani, Anzalna dan pelawak, termasuk Lan Pet Pet dibawa untuk menarik pengunjung.
Seorang peniaga kain, Nik Amri Nik Yahya, 43 dari Kota Bahru, Kelantan berkata jualannya agak lembap memandangkan terlalu ramai yang menjual kain. Beliau telah lebih 13 kali menyertai jualan di PAU dan kali ini saingannya terlalu sengit sehingga beliau terpaksa menurunkan harga jualan.
Keadaan berbeza dengan Sara, 30, yang mengusahakan gerai Parfum De Papillon yang menjual pewangi dari Perancis dan Amerika Syarikat. Gerai beliau amat laris kerana kali ini tidak ramai yang menjual minyak wangi tanpa alkohol pelbagai wangian. Pengalaman selama tujuh kali menyertai gerai jualan PAU mengajar beliau bagaimana untuk menjadi lebih kompetitif.
Pengusaha Pesona Batik, Rosnita, 38 dari Kota Bahru, Kelantan, berkata berdasarkan pengalaman beliau, jualan tahun ini agak baik. Walaupun saingan bertambah hebat dengan pertambahan gerai, beliau tidak bermasalah menjual produk songket dan batik kerana coraknya yang unik selain kualiti kain bermutu.
Peniaga dari Pulau Pinang, Elena, 32, yang menjual susu kambing dan sambal belacan buatan sendiri menggunakan jenama ‘Aisya Goat Milk’ kali pertama menyertai PAU. Beliau sangat gembira dengan kelarisan produk-produk yang menggunakan resipi warisan neneknya.
Mohd Faizal Sufar yang merupakan antara pelanggan tegar presint jualan di PAU pada setiap tahun, kunjungannya setiap hari semata – mata untuk membantu peniaga – peniaga bumiputera. Bagi beliau, inilah peluang dalam setahun untuk mendapatkan pelbagai produk bumiputera dari seluruh negara.