
Oleh Faris Fuad (Putrajaya)
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berpendapat sekiranya Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang ia berpunca daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata Tun mungkin sudah lupa insiden perselisihan faham sebelum ini dengan mantan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang telah menyebabkan beliau menarik diri daripada Umno.
“Kerana Dr Mahathir meletak jawatan daripada parti dan dalam usaha menentang Perdana Menteri (ketika itu), beliau memberitahu rakyat Malaysia supaya memberi pengajaran kepada Umno dan BN dengan mengundi pembangkang, (kemudian) Umno dan BN sebenarnya mencatat prestasi buruk pada PRU 2008 sekalipun meraih kemenangan dengan majoriti kecil.
“Parti pemerintah turut hilang lima negeri pada PRU itu, kali pertama seumpamanya berlaku,” katanya menerusi entri blog sskeruak.blogspot.com hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah menyelar cadangan Tun yang didakwanya menggesa rakyat mengkritik kewibawaan Presiden Umno, Datuk Seri Najin Tun Razak.
Jelasnya, beliau hairan dengan tindakan Tun itu kerana semasa dia memegang jawatan tersebut, beliau tidak langsung bertolak ansur dengan kritikan daripada Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkhidmat sebagai timbalannya.
Salleh memaklumkan Tun juga merupakan individu bertanggungjawab memperkenalkan sistem undian bonus dan peraturan bagi menghalang individu lain mencabar kedudukannya.
Semalam, Najib dalam ucapan dasarnya meminta semua ahli parti dan pemimpin kekal setia bagi memastikan Umno kekal teguh untuk bangsa Melayu.
Beliau juga menuntut ahli Umno mengekalkan kesetiaan terhadap kepimpinannya, seperti yang dilakukan pada 28 tahun lalu ketika Umno menghadapi krisis dalaman apabila Tengku Razaleigh mahu mencabar Dr Mahathir bagi jawatan Presiden parti.