Skip to main content
HomeViral

Terpaksa Buat Keputusan Berat Demi Kelangsungan Parti – Najib

By 10 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Diyana Zamri (PWTC)

KUALA LUMPUR, 9 Disember (MalaysiaAktif) – Demi memastikan kelangsungan dan kepentingan parti, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sering kali, beliau terpaksa membuat beberapa keputusan dengan hati yang berat dan tegas.

“Hampir setiap masa saya dihadapkan dengan pelbagai dilema dan punya tiada pilihan, bahkan terpaksa membuat keputusan-keputusan yang berat dan keras, namun demi kepentingan parti setelah disepakati secara syura oleh Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.

Najib yang juga Presiden UMNO, berkata antaranya ialah rombakan Kabinet bagi memperkukuhkan lagi barisan Jemaah Menteri dalam membina kesepakatan dan kesetiaan berasaskan tanggungjawab bersama sebagai satu pasukan yang mantap, padu dan jitu.

Ketika menyampaikan ucapan dasar yang bertemakan “UMNO: Menyempurnakan Sebuah Perjuangan”, Najib berkata perjuangan UMNO juga adalah untuk membantu rakan seperjuangan Barisan Nasional (BN) di Sabah dan Sarawak dan bukan hanya tertumpu di Semenanjung dalam usaha membela nasib rakyat.

Beliau berkata sedemikian semasa merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Najib turut menambah, “ada waktunya, kalau atas dasar seorang sahabat, tidak mungkin saya mengambil keputusan yang luka lagi melukai. Namun, bak kata pepatah Inggeris, jika anda ingin menyenangkan hati semua orang, akhirnya tiada siapa yang akan senang hati.”

Oleh itu, tegas Najib, atas nama kelangsungan dan kepentingan parti, tindakan-tindakan tertentu terpaksa dengan berat hatinya diambil.

Pada 28 Julai lepas, Najib menggemparkan negara apabila mengumumkan rombakan Kabinet yang menyaksikan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan diambil alih oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Naib Presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mantan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut digugurkan daripada Kabinet baharu itu dan digantikan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Tinggalkan komen anda