Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantanViral

Air Pasang Besar: Beberapa Daerah Di Kelantan Terkesan

By 26 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Robani Nabi Ahmad (Tumpat)/Rosli Mat Zain & Zarihan Aziz (Kota Bharu),
Shafira Mat Hussin (Pasir Puteh)/Azhar Hj Ismail (Kelantan)

KELANTAN, 26 Jan (Malaysiaaktif) – Tiupan berterusan angin kencang dari Laut China Selatan dengan ombak setinggi 4.5 meter sejak awal petang Sabtu lepas mencetuskan fenomena air laut pasang besar mengakibatkan beberapa buah daerah pesisir pantai, termasuk Tumpat, Kota Bharu dan Pasir Puteh mengalami banjir.

Air pasang dari muara Pantai Tujuh telah melimpah ke beberapa buah kampung, iaitu Tanjung Dat, Tanjung Kuala, Kelong Pulau Che Tahir dan sebahagian bandar Tumpat. Namun demikian, tiada operasi pemindahan mangsa digerakkan di kawasan terbabit kerana air kembali surut kira-kira tiga jam kemudian.

 

20160125200003 (8)

 

Sementara itu, air laut yang masuk melalui Kuala Besar ke Sungai Kelantan telah melimpah di kawasan Sungai Budur, Pulau Panjang, Pulau Tukang Dollah dan Semut Api di Kota Bharu.  Kawasan Semut Api dan Sungai Budur antara lokasi yang paling kritikal di mana hampir 20 orang penduduk di Kampung Sungai Budur terpaksa dipindahkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat ke Sekolah Kebangsaan Sungai Budur pada pukul 10.30 malam.

Di kawasan Pantai Sabak, air laut yang melimpah melalui Sungai Sering turut mengesankan beberapa buah kampung di Pantai Dasar, Pantai Sabak, Kemeruk dan Tebing Tinggi, namun tidak melibatkan pemindahan penduduk.

 

20160125200005 (5)

20160125200002 (1)

 

Kawasan peranginan dan pelancongan Tok Bali di Pasir Puteh turut terkesan apabila air pasang yang masuk melalui Kuala Tok Bali ke Sungai Semerak menenggelamkan separuh jalan utama Bachok-Pasir Puteh selama hampir dua jam, tetapi tidak memutuskan hubungan jalanraya.

Secara keseluruhan, air pasang besar mulai surut pada kira-kira pukul 12.00 tengah malam dan keadaan kembali pulih di semua kawasan, kecuali di sekitar Sungai Budur, Kota Bharu.

Setakat berita ini dilaporkan, tiupan angin kencang dari Laut China Selatan masih berterusan dan menurut Jabatan Meteorologi iaa akan berlarutan sehingga 27 Januari ini.

 

Tinggalkan komen anda