
KUALA LUMPUR, 22 Jan — Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Datuk Ku Chin Wah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Ku didakwa melanggar syarat-syarat notis pendakwa raya di bawah Seksyen 49(1) akta berkenaan kerana gagal mengisytiharkan keuntungan daripada ‘komisen’ berjumlah RM961,500 yang terkandung dalam kenyataan bersumpah bertarikh Jan 8, 2014.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 23 Disember 2013 dan 21 Januari 2014 di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia di Putrajaya.
Jika didapati bersalah, Ku boleh dihukum penjara setahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau kedua-duanya.
Ku mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut yang dibacakan kepadanya di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah hari ini.
Hakim Mohd Nasir Nordin menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Februari untuk sebutan kes.