Skip to main content
HomeViral

Finas Rancang Sedia Rumah Untuk Penggiat Seni

By 17 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 16 Jan — Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) merancang wujudkan sebuah perkampungan industri kreatif bagi menyediakan perumahan bagi penggiat industri berkenaan.

Pengerusinya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata masih ramai penggiat seni tanah air yang telah berkeluarga atau bujang masih belum memiliki rumah sendiri.

“Sebanyak 70 peratus daripada 18,000 anggota Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) didapati masih belum ada rumah dan masih berkongsi rumah.

“Kami bercadang untuk bangunkan perkampungan itu di Perak dan kerajaan negeri telah menyatakan kesediaan untuk membantu menyediakan tanah untuk tujuan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kelima Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) di sini, hari ini.

Mohd Khusairi berkata rancangan itu masih di peringkat awal dan beliau akan berbincang dengan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Berhad serta kerajaan negeri Perak berhubung rancangan perumahan tersebut.

Khusairi berkata projek itu adalah antara inisiatif Finas dalam menjaga kebajikan penggiat seni.

Pada mesyuarat itu, Finas menyerahkan sumbangan dana sebanyak RM10,000 bagi kegunaan PKAVM untuk pergerakan persatuan dengan mengadakan program berfaedah untuk anggotnya.

Sementara itu, Pengerusi PKAVM Rahim Jailani mengharapkan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat menyediakan perumahan melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi artis veteran.

“Disebabkan artis-artis veteran ramai yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur, saya harap DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan dapat memberi ruang kepada kami yang berpendapatan tidak stabil dan tidak tetap untuk mendiami di PPR yang selesa,” katanya.

Selain itu, sebagai usaha membantu membangunkan artis-artis veteran, beliau merancang untuk mengadakan kunjungan ke stesen televisyen bagi berbincang agar mereka diberi ruang untuk tampil menerusi stesen televisyen berkenaan.

“Fenomena pemilihan pelakon sekarang menakutkan… artis muda dituakan, umur ibu dan anak lebih kurang sebaya, kita sebagai penonton pun rasa terkeliru, jadi kami inginkan sedikit penjelasan daripada pihak stesen televisyen,” katanya.

Mesyuarat yang berlangsung di Pawagam Mini P. Ramlee, Finas hari ini dihadiri lebih 200 anggota persatuan itu.

— BERNAMA
Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda