Skip to main content
HomeViral

Majlis Syura Tegaskan PAS Tidak Menyertai UMNO

By 6 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Malaysiaaktif) – Majlis Syura Ulamak PAS menegaskan Parti Islam itu tidak akan menyertai atau bergabung dengan Umno dalam Barisan Nasional (BN).

Namun, Setiausahanya, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh memaklumkan PAS akan terus menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang memegang konsep perjuangan yang sama demi masa depan rakyat dan negara.

“Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang pada 2 Januari lalu telah bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketakwaan demi memperkukuhkan Islam dan perjuangannya.

“Salah satu dasar Islam yang dipegang PAS ialah bekerjasama dan tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.

“Majlis Syura Ulama juga menegaskan, PAS tidak akan menyertai BN,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pihaknya akan menganjurkan satu taklimat khas Sabtu ini bagi menerangkan isu kerjasama dengan Umno kepada pemimpin-pemimpin parti tersebut.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata taklimat itu diadakan untuk menerangkan situasi sebenar kepada ahli dan pemimpin parti tersebut tentang isu kerjasama dengan Umno.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai lokasi dan masa perjumpaan tersebut.

Isu mengenai kerjasama di antara PAS dan Umno berbangkit setelah  parti pembangkang iaitu DAP telah memutuskan hubungan dengan parti Islam itu ekoran perjuangan rakyat yang berbeza terutama pelaksanaan hukum hudud.

Manakala, Umno pula dilihat seolah-olah menyokong rancangan PAS untuk melaksanakan hukum tersebut.

Malahan baru-baru ini, Hadi dan Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berkongsi pentas yang sama dalam satu majlis anjuran Alumni Al-Azhar.

Dalam majlis itu juga, Najib sekali lagi telah menghulurkan tangan kepada PAS untuk menyertai Umno kerana perjuangan mereka yang seakan sama.

 

Namun, Hadi dan juga pemimpin-pemimpin PAS yang lain masih berpegang kepada pendirian mereka untuk kekal sebagai pembangkang.

 

Tinggalkan komen anda