Skip to main content
EkonomiHomeViral

Pelepasan Cukai Manfaat Dua Juta Pekerja – Najib

By 28 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

PUTRAJAYA, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan mengumumkan pelepasan cukai sebanyak RM2,000 kepada individu yang berpendapatan RM8,000 sebulan ke bawah, untuk tahun taksiran 2015.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan tersebut menyebabkan kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM350 juta, namun ia akan memberi penjimatan kepada individu terbabit sehingga RM475.

“Khabar gembira ini akan memanfaatkan seramai dua juta pembayar cukai,” katanya dalam Majlis Perutusan Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan memantau dan mengambil tindakan terhadap invididu yang tidak membayar cukai.

Namun katanya, pihaknya telah bersetuju meringankan hukuman denda penalti kepada pembayar cukai bagi menggalakkan mereka untuk tampil melaporkan pendapatan tahun ke belakang.

“Tunggakan cukai tersebut perlu dilangsaikan sebelum 31 Dis ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Najib berkata pihaknya akan melihat kembali aliran dan saluran jualan rokok dan minuman keras di beberapa pulau bebas cukai bagi mengurangkan kerugian  hasil hampir RM1 bilion.

Jelasnya, penstrukturan semula itu dihadkan kepada kedai-kedai bebas cukai yang dilesenkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Pengecualian cukai kenderaan import di pulau bebas cukai akan diperketatkan di pulau-pulau ini.

“Langkah penstrukturan semua jualan rokok, minuman keras serta kenderaan ini tidak akan melibatkan penduduk tempatan dan pelancong di pulau bebas cukai ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib mengesahkan kerajaan akan mengurangkan potongan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja sebanyak tiga peratus mulai Mac tahun ini.

Tegasnya, kadar caruman majikan itu akan dikekalkan sehingga hujung tahun 2017.

“Langkah ini dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan sehingga RM8 bilion setahun,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda