Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurWilayah Persekutuan

Jiran Sepakat Membawa Berkat Pupuk Integrasi Sosial

By 20 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Azri Zainal Abidin & Saharuddin Othman

PUTRAJAYA, 19 Februari (Malaysiaaktif) – Perpaduan dan hubungan antara kaum melalui kejiranan amat penting untuk diberi perhatian kerana semangat kejiranan perlu disemai dan disemarakkan semula dalam kawasan kejiranan bagi meningkatkan interaksi dan integrasi sosial dalam masyarakat.

Demikian kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup, dalam Program Gemilang Perpaduan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Putrajaya bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) 2016 di sini hari ini.

Beliau mengharapkan agar Rukun Tetangga di Putrajaya dapat menganjurkan aktiviti-aktiviti yang mempunyai kesan jangka panjang dan berilmiah kerana masyarakat kini lebih celik Informasi Teknologi (IT) dan sering membuat perbandingan serta menilai program serta aktiviti yang dijalankan oleh Jabatan mahupun Agensi Kerajaan.

Tambah beliau bagi merealisasikan perkara ini, sokongan serta dokongan yang padu dan mantap dari segenap lapisan masyarakat pelbagai kaum di kawasan Putrajaya khasnya. Beliau memberi contoh, setiap masyarakat perlu menghormati kepercayaan lain-lain penganut agama berdasarkan prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan.

Program yang bertemakan Jiran Sepakat Membawa Berkat ini bertujuan untuk menyemarak serta memperkukuhkan perpaduan disamping menerapkan budaya serta amalan nilai-nilai aspirasi 1Malaysia seperti berintegriti dan bersemangat patriotik.

Sehingga Januari 2016 terdapat 42 buah KRT dan sembilan buah Tadika Perpaduan di sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya. Antara Rakan Perpaduan JPNIN Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Penerangan WPKL.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Gandesan Letchumanan dan  Pengarah JPNIN Wilayah Persekutuan Putrajaya, Hajah Norihan Ali.

 

Tinggalkan komen anda