
Oleh Norisam Sahidan, Halim Aman, Mohd izideen Khairi Zakaria
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Keprihatinan kerajaan menepati janji dan membantu kesejahteraan rakyat sentiasa diberi keutamaan.
Menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan dalam ucapan perasmian sempena Sambutan Kenduri Wilayah Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak di Projek Perumahan Rakyat (PPR DBKL) Seri Kota hari ini turut berharap supaya rakyat menilai semula dengan wajar terhadap sebarang tohmahan dan fitnah yang diperkatakan oleh pihak lain.
Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Dato’ Mokhtar merangkap Ahli Lembaga Pelawat DBKL yang ditemui dalam majlis ini telah mencadangkan pembinaan bangunan parkir Bertingkat di kawasan perumahan di bawah seliaan DBKL. Beliau berharap bahawa cadangan ini dapat direalisasikan bagi mengatasi kesesakan dan kekurangan tempat meletak kenderaan yang semakin kritikal dan menjadi masalah utama kepada penduduk.
Selain itu beberapa pembangunan yang telah dan akan dibina di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak akan dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk dan secara tidak langsung akan dapat mengatasi masalah pengangguran. Beliau berharap penduduk sekitar merebut peluang yang ada untuk meningkatkan ekonomi mereka.
Kehadiran pemimpin setempat dan kesepakatan semua parti komponen di Parlimen Bandar Tun Razak pada program ini begitu terpuji. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga tidak ketinggalan memberikan Ang Pau kepada kaum Cina sempena Tahun Baru Cina. Turut hadir ke program ini ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Dato’ Dr. Loga Balan Mohan dan Datuk Bandar, Datuk Seri Hj. Mohd Amin Nordin b. Abd. Aziz.