Oleh M. Zakri Chan (Melaka)
MELAKA 26 Feb (Malaysiaaktif) — Rumah Pangsa Lereh Klebang malam ini bergema dengan selawat memuji kekasih Allah, Muhammad SAW apabila berlangsungnya Program Selawat Komuniti 1Malaysia anjuran Jabatan Penerangan Negeri Melaka.
Program selawat ini merupakan anjuran ke-2 yang mana kali pertama diadakan tahun lepas di Bukit Cina Melaka mendapat sambutan yang mengalakkan.
Penceramah jemputan Pemimpin Majlis Ta’ lim Nur Alawy dari Jakarta, Indonesia Al Habib Hamid Naufal bin Alwy Al-Kaff dan Al Habib Nael Bentohir Malaysia bersama Kumpulan Maulid Ar Rahman mengalunkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Program selawat ini bukan sahaja dapat mendekatkan diri dengan Rasulullah malah lebih daripada itu mengajar kita mengamalkan keperbadian baginda yang penuh kesederhanaan selaras dengan konsep wasatiah,” jelas peserta, Mohd Izuddin Isnin.
Pegawai Penerangan Daerah Melaka Tengah, Tuan Haji Mohd Noor Samion berkata program selawat ini akan diteruskan dari semasa ke semasa supaya masyarakat mencintai keperibadian Nabi Muhammad SAW.