Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePulau PinangViral

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang Bebas Banjir

By 3 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Mohd Shahrizan Shahabudin & Shamsul Bahari Abd Shukor

BAYAN LEPAS, 3 Feb (Malaysiaaktif) —  Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) kini tidak akan lagi menghadapi masalah banjir kilat yang membelenggu sejak 2013.

Ini berikutan penyediaan tangki ‘OSD (On-Site Detention) yang berfungsi untuk menakung air hujan sebelum dialirkan ke laut.

Menurut Pengurus Besar PIA Mohd Arif Jaafar, ‘OSD Tank’ ini merupakan satu penyelesaian yang dicadangkan oleh pihak Pakar Perunding dan Jabatan Bekalan Air (JBA) bagi menangani masalah banjir kilat di lapangan terbang tersebut.

Beliau berkata, tangki berukuran 2.1 meter tinggi, 2.1 meter lebar sepanjang 112 meter berharga RM1.5 juta itu mula dibina pada 23 Februari dan siap sepenuhnya pada 7 Julai tahun lepas.

 

20160202233257 (1)

 

Dalam pada itu, bersamaan pembinaan kaedah tersebut pihak PIA turut menambah baik sistem saliran dengan melebarkan longkang di Laluan 1 dan menambah longkang merentangi Laluan 2.

Mohd Arif berkata sekiranya hujan melebihi kapasiti antara 50 hingga 60 milimeter sejam, air yang bertakung dapat dialirkan ke dalam ‘OSD Tank’ dalam masa 30 minit.

Hasil uji cuba pada 8 Julai tahun lepas, mendapati sebanyak 24,000 liter air yang bertakung di Laluan 1 dan Laluan 2 PIA berjaya dialirkan dalam tempoh hanya 28 minit.

Menurut beliau lagi, ‘OSD Tank’ ini mampu menampung sejumlah 500 meter padu, iaitu anggaran kapasiti air akibat hujan sepanjang tiga hingga 4 hari.

Pihak PIA juga dalam perancangan untuk memulakan projek ‘OSD Tank’ kedua yang meliputi kawasan dalam lapangan terbang dan kawasan bagasi yang akan dimulakan pada pertengahan tahun ini.

Pembinaan ‘OSD Tank’ kedua berukuran 2.1 meter tinggi, 2.1 meter lebar sepanjang 70 meter ini berharga sekitar RM700,000 dan dijangka siap sebelum penghujung tahun.

Mohd Arif berkata demikian semasa Majlis Taklimat Tebatan Banjir di PIA semalam.

Sebelum ini, Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM250 juta bagi menaik taraf  PIA.  Pembinaan yang siap pada Jun 2012 berjaya meningkatkan kapasiti penumpang dari 3.5 juta kepada 6.5 juta setahun dan diunjurkan mampu menampung pertambahan penumpang sehingga 2020.

 

Tinggalkan komen anda